Penunggang p-panggilan melalui Jalan Lapangan Terbang Subang menghala ke Lebuhraya Persekutuan untuk menghantar pesanan pada 13 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Syarat wajib GDL beban penunggang p-panggilan, untungkan sebelah pihak

KUALA LUMPUR, 9 OGOS: Cadangan Kementerian Pengangkutan untuk mewajibkan penunggang p-panggilan mengambil lesen memandu vokasional (GDL) akan membebankan komuniti berkenaan.

Ketua Aktivis Pengangkutan Darat Malaysia Kamaruddin Hussain berkata usaha tersebut hanya terarah kepada penjanaan kewangan hasil bayaran GDL sahaja, lapor portal Kosmo!.

Jelas beliau, hasrat kementerian untuk memberi kursus keselamatan boleh dilaksanakan dengan cara lain, bukan dengan mewajibkan GDL.

“Kami melihat ketetapan tersebut akan membebankan lagi komuniti p-panggilan malah tidak mustahil ia untuk menjaga kepentingan syarikat-syarikat pengendali sahaja.

“Kami tidak mahu situasi sama berlaku ke atas komuniti e-panggilan di mana lesen tersebut kini boleh disifatkan sebagai tidak ada kualiti dan hanya untuk menyumbang kepada keberhasilan negara,” katanya.

Kamarudin berkata ahli persatuan menaruh harapan yang tinggi kepada kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan supaya mengawal selia syarikat pengantara yang selama ini dikatakan menindas.

Namun dakwanya, kementerian lebih melihat ke arah penjanaan kewangan hasil lesen GDL dan menyusahkan penghantar p-panggilan.

“Malah, perkara yang berlaku di dalam sektor e-panggilan bakal berlaku di dalam sektor p-panggilan. Jadi saya berpendapat selagi kementerian tidak mahu belajar dari kesilapan, selagi itu segala masalah yang melanda industri tidak dapat diselesaikan secara tulus dan tuntas.

Semalam, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata penunggang perkhidmatan p-panggilan bakal diwajibkan memiliki lesen GDL, selepas pindaan tiga undang-undang pengangkutan jalan diluluskan.

Ka Siong dilaporkan berkata, pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987, Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 menetapkan had usia penunggang perkhidmatan penghantaran makanan daripada tidak kurang 21 tahun kepada tidak kurang 18 tahun.


Pengarang :