EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Teater Shah Alam dinaik taraf tahun depan, negeri peruntuk RM12 juta

SHAH ALAM, 1 OGOS: Sejumlah RM12 juta diperuntuk untuk menaik taraf bangunan Teater Shah Alam yang dijangka dimulakan seawal suku kedua tahun hadapan.

EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah berkata kerja naik taraf bangunan teater itu meliputi sistem akustik bangunan, kerusi dan permaidani.

“Kita juga cadang untuk bina ‘amphitheatre’ di bahagian luar bangunan tersebut. Selain itu, kerosakan luar bangunan juga akan diberi perhatian bagi menjadikannya lebih menarik.

“Sasaran program yang dicadangkan untuk dijalankan di bangunan teater berkenaan adalah persembahan kebudayaan, pementasan teater dan juga konsert serta rakaman program televisyen,” katanya.

Bercakap dalam sesi penggulungan usul Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini, Borhan menambah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) juga sudah membuat penyelenggaraan kecil seperti sistem pendingin hawa, pembaikan tandas dan bumbung.

“Kos pembaikan kecil yang dikeluarkan adalah RM40,000 dan MBSA juga menyediakan kos operasi seperti utiliti, kawalan keselamatan dan pembersihan berjumlah RM21,000 sebulan.

“Ini bagi memberi laluan kepada program yang telah ditempah dan dilanjutkan sehingga September depan,” katanya.

Sebelum ini, bangunan Teater Shah Alam diserahkan kepada MBSA pada Mei tahun lalu.


Pengarang :