Populariti lagu Casablanca menggabungkan seni kata Arab dan Melayu mencatatkan rekod cemerlang dengan 18 juta tontonan di YouTube sehingga Ogos 2022 semenjak dimuat naik pada 19 Mei lalu. Foto SELANGORKINI
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Tembus carta muzik negara seberang, tuah ‘Casablanca’ Nuha Bahrin

Oleh INTAN SYUHADA AKHIR

SHAH ALAM, 29 OGOS: Bertalu-talu kecaman dilemparkan peminat muzik tanah air terhadap penyanyi Nuha Bahrin lantaran terkucil semasa pertandingan Vokal Mania 2020 yang disiarkan secara langsung di saluran TV3. Ia cukup mengecewakan gadis manis bertubuh genit itu.

Peristiwa itu sememangnya memberi kesan ke atas perjalanan seninya sehingga menjadi penghibur suam-suam kuku sahaja dalam tempoh dua tahun sejak pertandingan berkenaan. Tidak banyak diperkatakan mengenai beliau sehinggalah datangnya lagu Casablanca, nyanyian pemilik nama sebenar Nuha Sakina Saiful Bahrin.

Populariti lagu yang menggabungkan seni kata Arab dan Melayu benar-benar melonjakkan karier penyanyi berumur 22 tahun itu. Lagu duet bersama rakan Naufal Azrin mencatatkan rekod cemerlang dengan 18 juta tontonan di YouTube sehingga Ogos 2022 semenjak dimuat naik pada 19 Mei lepas.

Tidak berhenti di situ, pasangan duet itu turut menduduki carta teratas Spotify Viral 50 Global dan Spotify Viral 50 Indonesia yang sukar ditembusi mana-mana artis baharu dari Malaysia.

Sehingga Ogos, sebanyak 1.4 juta video di aplikasi TikTok sudah menggunakan lagu ciptaan Daqmi dan Abdul Kami Al Ali sebagai kandungan, sekali gus tular di negara seberang laut.

“Saya memang tidak sangka. Tiba-tiba suatu pagi pengurus hubungi dan maklumkan yang Casablanca sudah tular di TikTok. Setelah itu jumlah tontonan naik mendadak di YouTube.

Nuha Bahrin bercita-cita untuk mengembangkan lagi bakatnya dengan menakluki pasaran muzik Timur Tengah

“Seram juga awalnya namun saya dan Naufal sangat bersyukur kerana ini rezeki yang jarang orang dapat. Tapi ia memihak kepada kami kali ini,” cerita Nuha ketika ditemui Selangorkini baru-baru ini.

Pernah menyanyikan lagu dengan genre balada sebelum ini namun sambutannya tidak semeriah Casablanca. Nuha berkata 60 peratus peminat lagu Casablanca datang dari Indonesia.

Tidak mudah untuk membolosi pasaran muzik Indonesia. Hanya beberapa nama sahaja yang diingati seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, Datuk Sheila Majid, Datuk Suhaimi Abdul Rahman atau Amy Search, Baby Shima dan terbaharu kumpulan Masdo.

Namun menerusi Casablanca, gadis itu mencipta nama dan menerima pelbagai jemputan media di sana. Nuha juga bakal terbang ke Indonesia pada akhir bulan ini sebagai menghargai peminatnya di sana.

Mahu takluk Timur Tengah

Susulan kejayaan lagu ‘berhantu’ berkenaan, Nuha kini memasang cita-cita untuk mengembangkan, lagi bakatnya. Tanpa berselindung wanita itu mendedahkan beliau mahu menakluki pasaran muzik Timur Tengah dan mencipta kegilaan yang sama seperti yang dilakukannya di Indonesia.

“Kebanyakan penyanyi akan menyasarkan untuk ke Amerika Syarikat. Ia cita-cita yang bagus. Tapi saya sedikit berbeza kerana impian saya adalah untuk menembusi pasaran muzik di Timur Tengah.

“Menerusi analisis kami (Nuha dan pengurusan) peminat muzik mereka ada budaya yang sama dengan warga Indonesia. Maksudnya kalau mereka betul-betul sukakan artis itu, mereka akan bermati-matiannya menyokongnya.

“Itulah yang sedang kami perhatikan dan usaha kami memang ke arah sana. Kita cuba terbaik, kalau ada rezeki adalah. Jika tidak, tak mengapa. Tiada apa-apa yang kita rugi,” kata Nuha lagi.

Dengan jumlah pengikut hampir setengah juta di TikTok, Nuha menggunakan platform itu untuk menyanyikan semula lagu-lagu terkenal Timur Tengah seperti Albi Ya Albi nyanyian Nancy Ajram dan Nour El Ain nyanyian Amr Diab.

Bukan itu sahaja, ketika menyanyikan lagu Mesaytara, bakat dan suaranya juga pernah dipuji penyanyi asal lagu itu iaitu Lamis Kan.

Nuha mengakui ia adalah langkah kecil yang diambilnya untuk merealisasikan kesemua impian besarnya.

“Sekarang saya giat mempelajari bahasa Arab dan berhasrat untuk bertutur dalam bahasa itu dengan fasih selepas ini. Doakan saya,”katanya.


Pengarang :