DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan melihat buku Kebaya Selangor oleh Rohayu Mohd Yunus ketika melawat reruai pameran sempena Majlis Pelancaran Buku-Buku Terbitan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) di Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam pada 8 Ogos 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tengku Permaisuri harap warisan negeri dipelihara, elak dimamah pemodenan

SHAH ALAM, 8 OGOS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor berharap kepelbagaian budaya dan warisan negeri ini dipelihara dan disuburkan agar tidak hilang dimamah arus pemodenan.

Tengku Permaisuri Norashikin bertitah budaya, tradisi dan warisan adalah perkara penting bagi membentuk jati diri dan menjadi lambang atau identiti sesebuah bangsa.

“Menjadi harapan saya agar kekayaan budaya, tradisi dan warisan yang dimiliki masyarakat majmuk di Selangor dapat dijadikan sebagai wadah yang memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat,” titah Baginda.

Baginda bertitah pada Majlis Pelancaran Buku-buku Terbitan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) di Pustaka Raja Tun Uda di sini hari ini.

Tengku Permaisuri Norashikin turut berharap semua buku yang dilancar dapat dimanfaatkan rakyat Malaysia dan ditempatkan di perpustakaan luar negara untuk bacaan komuniti di sana.

“Justeru, besar harapan saya agar kerjasama dapat dilakukan bersama agensi berkaitan agar koleksi buku ini bukan hanya ditempatkan di perpustakaan dalam negara, malahan dapat dipromosikan kepada perpustakaan-perpustakaan di negara luar.

“Amat mendukacitakan sekiranya ilmu dan pengetahuan yang terkandung di dalam karya-karya ini hanya tersimpan di rak sahaja tanpa dimanfaatkan oleh masyarakat,” titah Baginda.


Pengarang :