Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyempurnakan majlis penutup Karnival Kuala Selangor 2022 di Eco Grandeur, Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor pada 7 Ogos 2022. FOTO HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tengku Permaisuri Selangor berkenan rasmi majlis penutup Karnival Kuala Selangor

KUALA SELANGOR, 7 OGOS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor berkenan memyempurnakan majlis penutup Karnival Kuala Selangor 2022 di Eco Grandeur, Bandar Puncak Alam di sini malam ini.

Keberangkatan tiba Tengku Permaisuri Norashikin ke acara sempena ulang tahun pertama Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) disambut Yang Dipertuanya Rahilah Rahmat.

Rahilah berkata karnival tiga hari dianjurkan bagi berkongsi kegembiraan dengan warga daerah ini atas kejayaan pihak berkuasa tempatan itu mencapai status perbandaran pada 7 Ogos tahun lalu.

Menurutnya, pelbagai aktiviti disajikan di tujuh lokasi iaitu Dataran Malawati, Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan dan Inap Desa Sungai Sireh.

Lokasi lain adalah Pantai Remis, Jeram; Stadium Utama, Kompleks Sukan Kuala Selangor; Taman Alam, Kuala Selangor termasuk Eco Grandeur.

“Sebelum ini pengisytiharan status MPKS dibuat secara maya memandangkan ketika itu negara masih berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Jadi kita mahu kongsi kegembiraan dan meraikan seluruh rakyat Kuala Selangor melalui penganjuran karnival ini,” katanya dalam sembah ucapan malam ini.

Dalam acara itu, baginda dan orang ramai turut dihiburkan dengan persembahan penyanyi terkenal tanah air Datuk Jamal Abdullah dan Aina Abdul.

Sementara itu, Rahilah berkata karnival terbabit berjaya menarik hampir 10,000 pengunjung yang menyertai aktiviti komuniti, alam sekitar, sukan dan pengisian rohani.

“MPKS berterima kasih kepada seluruh rakyat yang terlibat, malah kita menerima maklum balas positif supaya karnival ini diadakan secara tahunan.

“Kita juga menerima maklum balas berhubung perkhidmatan MPKS. Data yang diperolehi dapat membantu kita menyediakan persekitaran perbandaran kondusif selaras matlamat pembangunan mampan,” katanya.


Pengarang :