BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

‘Teori sudu’ dalam sinema Korea

Sejak kemenangan Parasite (2019) di Oscar dan Cannes, arena perfileman tanah air juga mengorak pelbagai langkah untuk mengikuti jejak ditinggalkan Bong Joon-Ho dan rakan-rakannya. Kita secara tiba-tiba menjadi bersemangat melihat filem dari Asia menempa nama sejauh itu.

Maka muncullah pelbagai idea dan program untuk memastikan Malaysia juga mampu menempatkan nama di pentas dunia. Antara yang paling terkenal kini ialah Projek Oscar, satu inisiatif jangka panjang untuk membolehkan Malaysia mempunyai wakil dalam anugerah perfileman berprestij di Amerika Syarikat itu.

Namun begitu, walaupun cita-cita menempatkan arena perfileman Malaysia di ruang antarabangsa adalah niat yang suci dan mampu memberikan keuntungan untuk kita dari sudut budaya dan ekonomi, namun usaha ini bukanlah suatu yang boleh dilaksanakan hanya apabila kita melihat Korea mampu melaksanakannya. Terdapat dua perkara yang perlu diberikan pertimbangan.

Pertama, sinema Korea tidak menjadi besar seperti hari ini dalam satu malam sahaja, ia melalui perkembangan dan tradisi penting melalui sokongan pelbagai pihak termasuk gemblengan tenaga pemerintah serta industri. Kedua, jika Parasite dijadikan ukuran, maka kita perlu melihat bagaimana filem itu sebenarnya sangat responsif kepada persekitaran sosiopolitik dan ekonomi Korea.

Ia bercakap tentang permasalahan negara yang bersifat sejagat dan mampu memberikan kesan dan kefahaman kepada seluruh dunia. Filem ini mendalami isu jurang kelas yang melebar.

Isu yang dibincangkan dalam Parasite telah lama menjadi perbualan masyarakat di Korea sehingga melahirkan apa yang dikenali sebagai teori sudu atau ‘spoon theory’. Secara ringkasnya teori ini menjelaskan tentang status ekonomi individu yang ditentukan oleh tahap kekayaan ibu bapa mereka. Jadi terdapat jurang yang membimbangkan hasil daripada kekayaan secara warisan ini.

Misalnya apabila kita lahir dalam keluarga kaya, maka kita secara automatiknya akan mewarisi kekayaan berkenaan dan selanjutnya akan kekal kaya sehingga keturunan selanjutnya. Begitu juga halnya apabila kita dilahirkan dalam keluarga yang miskin, maka kemiskinan itu juga menjadi warisan yang tidak berpenghujung.

Kesenjangan parah

Profesor Kyung Hyun Kim dari Universiti California yang banyak menulis mengenai sinema Korea menjelaskan bahawa majoriti besar kelompok elit di Korea mewarisi kekayaan mereka dan keadaan bertambah buruk apabila Kim turut menerangkan bahawa di Korea, peluang kerjaya sering dikaitkan dengan latar belakang keluarga kerana majikan memerlukan maklumat sedemikian.

Hal ini secara tidak langsung memberikan kelebihan kepada golongan berada serta menjurus kepada permasalahan besar yang lain termasuk rasuah dan nepotisme. Kesenjangan yang parah ini mencetuskan kekecewaan yang membawa kepada perbincangan mengenai teori sudu. Sudu emas (gold spoon) milik anak-anak yang mewarisi kekayaan dan sudu kotor (dirt spoon) untuk golongan yang mewarisi kemiskinan.

Dilema dan keperitan ini yang ditunjangi dalam filem seperti Parasite dan ia bukan semata-mata membikin filem untuk ke Oscar atau Cannes, tetapi ia menjelmakan sebuah kejujuran untuk bercerita tentang permasalahan yang dihadapi di negara sendiri.

Bagaimana Parasite berjaya memaparkan dua set keluarga yang bertentangan dari sudut status ekonomi mereka dan bagaimana wujud pergelutan kelas untuk memastikan kekayaan bersifat warisan itu dapat berpindah milik. Maka berlaku penipuan demi penipuan demi memastikan jaminan terhadap pekerjaan dan masa depan lebih baik.

Kekurangan terhadap mobiliti sosial menjadi kekangan utama kepada masyarakat di Korea, malah di hujung filem ini, menampilkan tragedi bagaimana kelas miskin ini sukar untuk bangkit kerana permasalahan kompleks dalam struktur masyarakat dan berubah lebih baik hanya satu ilusi yang tidak tahu bila akan menjadi realiti.

Sehubungan itu, apabila kita bercakap tentang keperluan untuk menjadi seperti Korea adakah kita benar-benar bersedia untuk mencari kejujuran dalam sinema kita? Adakah permasalahan sosiopolitik dan ekonomi seperti dalam Parasite bersedia untuk diterima penonton atau pemerintah?

Teringat pada tahun 2018 kita mempunyai One Two Jaga, sebuah filem yang menyentuh permasalahan rasuah dalam kalangan anggota polis dan pada tahun 2020 kita ditampilkan pula dengan Prebet Sapu yang menyentuh pergelutan hidup masyarakat kota, namun sambutan yang diterima kedua-dua filem berkenaan cukup dingin, tidak sehangat masyarakat Korea menyambut Parasite.

Menjadikan sinema sebagai bayangan realiti dalam konteks Malaysia berdepan cabaran sengit dan kita perlu memastikan dengan tulus adakah kita menyambut sesebuah filem itu kerana permasalahan yang dibincangkan atau semata-mata tuntutan anugerah dan komersial?

*Daniyal Kadir banyak menulis ulasan dan esei perfileman Malaysia serta menulis dua buku berjudul Membedah P. Ramlee dan Membedah Wayang Gambar


Pengarang :