Persembahan tarian Jooh oleh Orang Asli Mah Meri sempena acara penutup kayuhan Selangor 600: Our Community, Our Home di Perkampungan Budaya Mah Meri Pulau Carey, Kuala Langat pada 12 September 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Teruja rai merdeka, suku Mah Meri kenang semangat keluarga lawan penjajah

Oleh Muhammad Basir Roslan

SEPANG, 24 OGOS: Bagi suku kaum Orang Asli Mah Meri di Kampung Orang Asli Bukit Bangkong, Sungai Pelek di sini, sambutan ulang tahun kemerdekaan negara adalah antara acara yang ditunggu-tunggu oleh mereka saban tahun.

Mengapa?

“(Kerana) Ramai dalam kalangan nenek moyang kami yang turut terkorban demi menghadiahkan kemerdekaan ini kepada kita semua,” kongsi Tok Batin Taha Akhir kepada Bernama ketika ditemui di kampung itu, baru-baru ini.

Mungkin sejarah penglibatan Orang Asli dalam perjuangan kemerdekaan negara tidak banyak diketahui oleh masyarakat umum, namun menurut Taha, 55, kisah pengorbanan nenek moyang mereka semasa negara berjuang menentang penjajah dan ancaman komunis sentiasa diceritakan oleh orang-orang tua mereka.

Justeru katanya, mereka menjadikan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara untuk memperingati semangat nenek moyang mereka, khususnya yang terkorban semasa ancaman komunis, serta pengorbanan lain yang mereka lakukan termasuk terpaksa berpindah meninggalkan petempatan asal.

Pelbagai acara menjelang sambutan

Bercerita mengenai persiapan yang dilakukan penduduk bagi meraikan sambutan itu, Taha yang sudah enam tahun menjadi tok batin kampung tersebut, berkata aktiviti sudah disusun sejak awal bulan dengan kemuncaknya ialah pada malam ambang 31 Ogos.

Menurutnya, program melibatkan semua peringkat umur termasuk kanak-kanak dan warga emas, selaras dengan aspirasi Keluarga Malaysia yang ditekankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Antara aktiviti yang bakal diadakan ialah pertandingan mewarna bendera bagi kanak-kanak bawah 10 tahun dan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan kampung. Selain itu, kita juga mengadakan aktiviti memasang Jalur Gemilang di setiap rumah, pertandingan badminton, menganyam ketupat selain karaoke lagu-lagu patriotik dan zumba,” katanya.

Pada malam ambang merdeka, mereka akan mengadakan persembahan kebudayaan Mah Meri yang antara lain mengetengahkan tarian tradisional suku kaum tersebut iaitu tarian ‘tengkeng’.

“Penari wanita akan menari mengikut rentak lagu tradisional yang dialunkan menerusi alat muzik seperti hentakan kayu buluh, jule (biola), rebana dan tawa (gong tembaga),” katanya yang mempelawa masyarakat umum datang ke kampung itu untuk menyaksikan persembahan berkenaan.

Sejarah berharga

Sejujurnya, penulis tidak pernah melawat perkampungan Orang Asli sebelum ini. Justeru, pemandangan yang menyambut mata penulis ketika tiba di perkampungan ini bersama-sama delegasi Jabatan Penerangan (JaPen), membuatkan penulis terasa malu sendiri.

Apa tidaknya, tanggapan penulis bahawa suku kaum Mah Meri mendiami pondok-pondok buluh dan kayu adalah jauh panggang dari api. Sebaliknya, mereka hidup dalam keadaan selesa – rumah moden yang diperbuat daripada konkrit dan dilengkapi kemudahan asas. Ringkasnya, mereka juga menerima manfaat pembangunan negara.

Kehijauan rimba yang mengelilingi perkampungan itu menambah nilai estetik selain mencetuskan rasa tenang kepada yang melihat.

Mah Meri adalah antara 18 suku kaum Orang Asli yang ada di Semenanjung Malaysia. Turut dikenali sebagai “Orang Laut”, sebahagian besar etnik Orang Asal ini boleh ditemukan di Selangor, khususnya di persisiran pantai di sini dan juga Pulau Carey.

Majoriti mereka beragama Islam, namun separuh lagi masih berpegang pada animisme serta adat resam nenek moyang mereka.

Ketibaan kami disambut bagai tetamu istimewa oleh Taha dan Pengerusi Jawatankuasa Perunding Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Marin Mungai, 50, serta beberapa orang penduduk kampung.

Bercerita tentang asal-usul kampung itu yang pada masa ini didiami oleh 350 keluarga, Marin berkata majoriti penduduk merupakan keturunan Mah Meri yang berasal dari Kuala Pantai Jengkuk dan hidup dengan menangkap hasil laut.

Namun, disebabkan sering diserang kumpulan lanun, mereka terpaksa berpindah mencari kawasan lain sehinggalah menemukan daratan yang dipenuhi belukar.

“Mereka kemudian mencucuh (membakar) belukar sehingga menjadi kawasan lapang dan bersih bagi membentuk sebuah perkampungan baharu dinamakan Ulu Chuchoh.

“Bermula dari petempatan awal di Kuala Pantai Jengkuk hinggalah ke Ulu Chuchoh, sekali lagi kerajaan British mengarahkan Orang Asli berpindah ke sini (Kampung Bukit Bangkong) ketika zaman penjajahan Jepun di Tanah Melayu sekitar 1940-an,” ceritanya.

Menurutnya, kampung itu juga dinamakan bersempena pokok buah bangkong yang begitu banyak ditemukan di kawasan tersebut.

(Pokok buah bangkong atau Artocarpus Interger merupakan sejenis pokok hutan seakan pokok cempedak. Namun, berbeza dengan cempedak, hanya biji buah bangkong sahaja boleh dimakan, sama ada direbus atau dijadikan masak lemak)

Menurut Marin, pada masa ini terdapat kira-kira 1,000 penduduk mendiami tiga perkampungan Mah Meri yang berjiran, iaitu Kampung Orang Asli Bukit Bangkong, Kampung Orang Asli Ulu Chuchoh dan Kampung Orang Asli Sungai Belankan.

Pelbagai aktiviti kehidupan

Sementara itu, Taha berkata mereka kini mempelbagaikan aktiviti ekonomi bagi menambah pendapatan kerana secara resminya Mah Meri tidak gemar terlalu bergantung pada bantuan dan simpati orang lain.

“Antara pekerjaan utama masyarakat di sini ialah mengusahakan kebun kelapa sawit, nelayan, kontraktor dan pekerja am di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, pertanian tanaman kontan seperti pisang, sayur-sayuran, ubi kayu dan keledek serta kerja-kerja kampung,” jelasnya.

Bagaimanapun menurut Taha, kerajaan menerusi Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) banyak memberikan bantuan kepada mereka bagi menjalankan kegiatan pertanian dan penternakan seperti lembu dan benih sawit.

Selain itu katanya, ramai anak-anak kampung tersebut berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara atas bantuan JAKOA dengan sebahagiannya telah kembali dan bekerja sebagai doktor, jurutera dan lain-lain, termasuk ada yang menjadi atlet pelayaran negara.

Terus didik anak bangsa

Sementara itu, bagi guru di Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Kampung Bukit Bangkong, Mistipah Wagiman, 53, pula, usaha menerapkan semangat cintakan negara dalam jiwa anak-anak Orang Asli Mah Meri dilakukan pada awal usia.

“Saya tidak akan pernah berputus asa mendidik anak-anak murid seramai 18 orang ini dengan ilmu cintakan negara. Malah, kita juga ada silibus pendidikan khas sepanjang bulan kemerdekaan ini, antaranya kita perkenalkan apakah itu Jalur Gemilang dan fungsinya, selain diajar mengenal Bapa Kemerdekaan negara.

“Ini penting, kerana jika kita tidak memperkenalkan mereka kepada semua ini, kita akan ketandusan pemimpin masa hadapan yang berkaliber dan mampu mempertahankan negara daripada sebarang ancaman. Penting bagi semua rakyat Malaysia, tidak kira apa bangsa dan agama, sama-sama menjaga kemerdekaan yang kita ada ini,” katanya.

Menurutnya lagi, penerapan semangat patriotik itu semakin penting pada zaman teknologi serba canggih ini bagi mengelakkan generasi muda terpedaya dengan anasir jahat yang bertujuan mengkucar-kacirkan negara.

“Menjadi tugas kami sebagai pendidik untuk melatih golongan muda menghargai kemerdekaan,” tegasnya.

-BERNAMA

 


Pengarang :