Kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memasang Jalur Gemilang sekitar Dataran Shah Alam sempena sambuntan Hari Kebangsaan pada 19 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Tiada denda, MBSA galak premis kibar Jalur Gemilang

SHAH ALAM, 19 OGOS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tidak berhasrat mengenakan denda ke atas premis yang tidak mengibarkan Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan.

Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Zamani Ahmad Mansor berkata pihaknya mengambil pendekatan mendidik dan menggalakkan mereka memasang bendera itu.

“Tiada akta atau enakmen untuk kita ambil tindakan tetapi di peringkat MBSA, kita menggalakkan sepatutnya sudah 65 tahun merdeka masing-masing ada kesedaran untuk menghayati dan menyemarakkan semangat.

“Sebelum ini kita ada hantar surat kepada premis untuk memasang dan menggantikan bendera lusuh kepada baharu,” katanya pada program pemasangan Jalur Gemilang di Dataran Shah Alam di sini.

Beliau menjawab soalan sama ada MBSA akan mengambil langkah mendenda premis yang tidak mengibar Jalur Gemilang seperti yang dilaksana Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Semalam, Datuk Bandar Ipoh berkata premis perniagaan yang tidak mengibarkan bendera sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan ini akan dikenakan kompaun sebanyak RM250.

Datuk Rumaizi Baharin berkata ia bertujuan memberi kesedaran mengenai kepentingan dan nilai kemerdekaan dan sekali gus menyemarakkan tarikh keramat negara itu.


Pengarang :