EXCO Pelancongan Hee Loy Sian dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad melepaskan peserta ‘Pusing Selangor Dulu’ Travel Hunt 2022 edisi Hulu Langat di Kompleks PKNS Bandar Baru Bangi pada 25 Jun 2022. Foto Tourism Selangor
AGENDANASIONAL

Tiada individu, organisasi dilantik ejen mohon geran budaya, seni, pelancongan

PUTRAJAYA, 10 OGOS: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) tidak melantik mana-mana individu atau organisasi sebagai ejen dalam permohonan Geran Padanan Pelancongan, Seni dan Budaya (GPPSB).

MOTAC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya memperoleh maklumat terdapat individu yang mendakwa telah dilantik sebagai ejen bagi permohonan geran di bawah kementerian itu.

Menurut MOTAC, pihak yang berkelayakan boleh memohon GPPSB mengikut syarat ditetapkan melalui alamat Urus Setia Geran Padanan Pelancongan, Seni dan Budaya, Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia), Bahagian Perancangan Strategik, Aras 2, No.2, Menara 1, Jalan P5/6, Presint 5, 62200 Putrajaya.

Pemohon juga boleh membuat permohonan dengan menghantar e-mel kepada [email protected].

GPPSB adalah inisiatif kerajaan melalui MOTAC bagi membantu penggiat industri daripada pelbagai sektor dan latar belakang dalam penganjuran acara pelancongan, seni dan budaya berimpak tinggi pada tahun ini.

GPPSB terbahagi kepada dua iaitu Geran Sepadan Sektor Pelancongan (GSSP) dan Geran Sepadan Sektor Kebudayaan (GSSK) dengan nilai RM50 juta bertujuan menyemarakkan dan merancakkan semula sektor pelancongan serta kebudayaan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Maklumat lanjut mengenai kedua-dua geran itu boleh didapati di laman www.motac.gov.my dan www.tourism.gov.my.

– BERNAMA


Pengarang :