AGENDANASIONAL

Tiga daerah di Selangor, Putrajaya diramal hujan lebat hingga 11 pagi

SHAH ALAM, 17 OGOS: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri termasuk Selangor sehingga 11 pagi ini.

Agensi itu menerusi Twitter memaklumkan keadaan itu dijangka berlaku di negeri ini di daerah Klang, Kuala Langat dan Sepang serta seluruh Putrajaya.

Situasi sama diramal di Kedah melibatkan Kota Setar, Yan dan Kuala Muda; Pulau Pinang (Barat Daya, Timur Laut dan Seberang Perai Utara), Negeri Sembilan (Seremban, Port Dickson dan Rembau), Melaka (Alor Gajah dan Melaka Tengah) serta Sarawak di Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi).

Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang www.met.gov.my , media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.


Pengarang :