Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim menunjukkan barang kemas yang dirampas ketika sidang media berkaitan kes pecah amanah melibatkan kerugian anggaran RM700,000 di IPD Shah Alam pada 4 Ogos 2022. Foto BERNAMA
SELANGOR

Tiga suspek termasuk dua beradik ditahan seleweng jual beli emas

SHAH ALAM, 4 OGOS: Polis menahan dua wanita termasuk seorang pemborong emas dan adik lelakinya pagi semalam di sekitar Selangor kerana disyaki melakukan pecah amanah jual beli emas di beberapa kedai di Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim suspek utama dikenali ‘Sally’ berusia 42 tahun yang menjalankan urusan jual beli emas secara pukal itu ditahan di sebuah apartmen di Bandar Puteri Puchong, Petaling bersama adik lelakinya berusia 37 tahun.

Turut ditahan dalam tangkapan berasingan di sekitar Shah Alam, seorang wanita berusia 25 tahun yang bekerja di sebuah kedai emas kerana disyaki berpakat dengan Sally melakukan aktiviti jenayah tersebut sejak tujuh bulan lepas.

Mohd Iqbal berkata penahanan kesemua individu itu yang dilakukan jam 7 hingga 9 pagi semalam, susulan pihaknya menerima laporan pada 31 Julai lepas daripada seorang pemilik kedai emas di Seksyen 7 selepas mendapati berlaku kekurangan stok emas sekitar 1.5 kilogram yang dianggar bernilai lebih RM1 juta susulan audit dilakukan pemilik kedai berkenaan.

“Hasil pemeriksaan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) premis itu mendapati seorang pekerja wanita sentiasa berurusan dengan wanita bernama Sally,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam hari ini.

“Berdasarkan semakan, terdapat urusan transaksi yang mencurigakan dengan hasil dalaman mendapati pekerja ini memberikan timbangan berlebihan kepada Sally iaitu 300 hingga 500 gram (g) bagi setiap transaksi dilakukan. Hasil siasatan mendapati lebih 150 transaksi pembelian, sepanjang berlakunya jenayah tersebut,” katanya.

Mohd Iqbal berkata satu gram emas dianggarkan bernilai RM252 dengan kerugian bagi berat timbangan satu transaksi mencecah antara RM50,000 hingga RM75,000 dan pekerja wanita itu akan memperoleh RM3,000 daripada Sally bagi setiap transaksi.

Mohd Iqbal berkata pihaknya merampas wang tunai berjumlah RM414,700, sejumlah 80 jenis barangan kemas, 10 unit telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah kenderaan jenis Toyota Harrier dan pelbagai dokumen berkaitan termasuk resit pajak gadai dengan nilai keseluruhan lebih kurang RM700,000.

Katanya tiga suspek itu kini direman antara empat dan enam hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

-BERNAMA


Pengarang :