ADN Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar ketika membahaskan usul perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex, Shah Alam pada 26 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Tindakan tegas terhadap warga asing, pastikan RS-1 dinikmati rakyat tempatan

SHAH ALAM, 2 OGOS: Kerajaan Negeri digesa mengambil tindakan tegas terhadap pemilik premis dan tanah yang digunakan oleh warga asing untuk menjalankan perniagaan.

Ahli Dewan Negeri Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata tindakan kompaun atau sita yang dilaksanakan ketika ini tidak berkesan untuk menangani masalah berkenaan.

“Kerajaan Negeri dicadangkan menyita tanah dan premis yang digunakan oleh warga asing untuk berniaga secara haram.

“Tindakan tegas ini perlu kerana bimbang nikmat pembangunan yang dibawa terutama dengan pelaksanaan Rancangan Selangor Pertama akan diisi oleh warga asing,” katanya pada sesi perbahasan menyokong usul Rancangan Selangor Pertama (RS-1) di sidang Dewan Negeri Selangor baru-baru ini.

Beliau turut menyedari cabaran yang dihadapi pihak berkuasa untuk bertindak terhadap aktiviti perniagaan oleh warga asing berkenaan.

“Sebagai contoh pelbagai tindakan penguatkuasaan dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Klang tetapi tidak berkesan.

“Pagi kedai disita kemudian petang mereka mula berniaga semula. Ia amat mendukacitakan dan satu cabaran kepada kita,” katanya.

Sementara itu, wakil rakyat Taman Medan yang menyokong usul itu berkata RS-1 amat sesuai dengan Selangor yang dikenali sebagai Darul Ehsan.

“Selangor adalah negeri yang penuh dengan ehsan dan ia dinikmati oleh pelbagai pihak.

“Jadi semua pihak di Selangor perlu bekerjasama untuk memacu RS-1 supaya ia dapat dilaksanakan,” kata Syamsul Firdaus Mohamed Supri.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pembangunan ekonomi yang dinikmati Selangor turut menarik minat negeri lain untuk mencari peluang pekerjaan bagi rakyat mereka.

“Saya agak terkejut apabila mendapati ada exco dari negeri jiran yang mencari pekerjaan untuk rakyat mereka menerusi Selangor Job Fair.

“Memang tidak salah tetapi ia memberi keyakinan bahawa RS-1 mampu memberi keyakinan kepada rakyat bahawa kita mampu mencapai kejayaan pada masa akan datang.


Pengarang :