Jambatan Seri Saujana disinari limpahan cahaya lampu yang bertemakan empat warna Jalur Gemilang hingga 16 September depan bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan ke-65 dan Hari Malaysia tahun ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

TNB tawar insentif bagi pelanggan komersial sempena Hari Kebangsaan

KUALA LUMPUR, 9 OGOS: Tenaga Nasional Berhad (TNB) sekali lagi menawarkan ‘Insentif Sinaran Merdeka’ bagi menggalakkan pelanggan komersialnya menerangi bangunan dan kawasan persekitaran dengan lampu hiasan sempena sambutan Bulan Kebangsaan ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan TNB hari ini, insentif tersebut adalah bagi tempoh penggunaan elektrik selama dua bulan iaitu dari 1 Ogos sehingga 30 September.

“Insentif Sinaran Merdeka adalah dalam bentuk kadar tarif lebih rendah iaitu sebanyak 20.8 sen/kiloWatt per jam kWj bagi jumlah peningkatan penggunaan elektrik yang melebihi purata penggunaan tiga bulan, iaitu Mei, Jun dan Julai tahun ini,” menurut kenyataan itu.

Permohonan untuk insentif berkenaan dibuka pada 1 Ogos sehingga 15 September ini.

Pelanggan yang layak untuk memohon tergolong di bawah tarif perdagangan yang telah mendapat bekalan elektrik sebelum 1 Ogos tahun lepas dan telah menerima sekurang-kurangnya satu bil sebenar sama ada pada Mei, Jun atau Julai tahun ini.

“Manfaat insentif khas ini akan dimasukkan ke dalam bil Oktober tahun ini secara sekali gus dan akan dipaparkan sebagai ‘Diskaun Karnival’,” menurut TNB.

Menurut kenyataan itu, pelanggan boleh memohon secara dalam talian melalui portal myTNB (www.mytnb.com.my) atau membuat permohonan di Kedai Tenaga berhampiran.

“Untuk maklumat lanjut mengenai Insentif Sinaran Merdeka, pelanggan boleh menghubungi talian TNB CareLine di 1-300-88-5454, layari www.tnb.com.my atau e-mel: [email protected],” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA


Pengarang :