Kapal persiaran Royal Caribbean, Spectrum of the Sea dari Singapura yang membawa lebih 4,500 penumpang berlabuh di Terminal Pelayaran Pelabuhan Klang pada 1 Julai. Foto Facebook Tourism Selangor
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tourism Selangor: 40,000 tempahan pelayaran dari Pelabuhan Klang laris

SHAH ALAM, 30 OGOS: Pelabuhan Klang kekal menjadi pilihan utama bagi pelancongan kapal persiaran apabila menerima 40,000 tempahan pelayaran sejak Julai sehingga akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor berkata lokasi Pelabuhan Klang yang strategik membolehkan ramai rakyat Malaysia dan pelancong antarabangsa menerokai pelayaran kapal persiaran sebagai pilihan percutian mereka.

“Selangor adalah sebuah negeri yang indah dengan begitu banyak tawaran kepada para pelancong. Resorts World Cruises telah menerajui untuk memilih Pelabuhan Klang sebagai salah satu pelabuhan asalnya.

“Ianya akan terus memainkan peranan penting dalam memberi sumbangan ke arah pertumbuhan kedua-dua sektor pelancongan pelayaran samada domestik mahupun serantau,” kata Azrul Shah Mohamad dalam satu kenyataan semalam.

Sementara itu, Presiden Resorts World Cruises Michael Goh, berkata antara pelayaran yang menjadi pilihan pelancong adalah pelayaran selama tiga malam kapal Genting Dream dari Pelabuhan Klang ke Pulau Pinang.

“Kami gembira dengan sambutan yang menggalakkan daripada pasaran Malaysia, dan teruja untuk melihat begitu ramai pelancong yang memilih untuk berlayar bersama kami dari Pelabuhan Klang.

“Dengan penambahan yang menjadikan Pelabuhan Klang sebagai sebahagian daripada dwipelabuhan, ramai pelancong mengambil peluang dan memanfaatkan kemudahan serta akses mudah untuk menerokai percutian pelayaran melalui kapal Genting Dream”, katanya.

Pakej pelayaran berlepas pada setiap Khamis dan Sabtu, dan tiket tempahan bermula RM599 setiap seorang tertakluk kepada terma dan syarat.


Pengarang :