Orang ramai bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang semasa menyaksikan persembahan udara dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada sambutan Hari Kebangsaan ke-64 di Dataran Putra pada 31 Ogos 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

TUDM: Pesawat terbang rendah ketika latihan, orang ramai diminta jangan panik

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan latihan operasi dan persiapan bagi sambutan Hari Kebangsaan bermula hari ini hingga 31 Ogos.

TUDM dalam kenyataan memaklumkan pasukan itu akan melakukan koordinasi Terbang Lintas Hormat dan Segmen Udara melibatkan pesawat udara milik ketiga-tiga perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia iaitu pesawat milik TUDM, Tentera Darat dan Tentera Laut, sempena sambutan Hari Kebangsaan Rabu ini.

“Latihan itu turut melibatkan pesawat udara milik Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Sepanjang tempoh latihan persiapan sehingga hari sebenar, pesawat terlibat akan melaksanakan penerbangan rendah dan penerbangan taktikal,” katanya dalam kenyataan semalam.

Justeru, TUDM menasihatkan orang ramai agar tidak cemas dan risau sekiranya melihat pesawat terbang rendah sepanjang tempoh latihan operasi dan kesiagaan dilaksanakan, yang dapat disaksikan di beberapa kawasan latihan iaitu sekitar Kuantan dan Lembah Klang. – BERNAMA


Pengarang :