Pemain perseorangan negara Ng Tze Yong beraksi ketika menentang pemain India Lakshya Sen pada aksi badminton akhir semasa Sukan Komanwel Birmingham 2022 di National Exhibition Center, Birmingham pada 8 Ogos 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Tze Yong azam pamer prestasi terbaik di kejohanan dunia Tokyo 22 Ogos

SEPANG, 11 OGOS: Atlet badminton perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong yakin beliau berada di landasan terbaik untuk beraksi di Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun yang akan bermula pada 22 hingga 28 Ogos ini.

Menyifatkan kejayaan merangkul perak dalam kemunculan sulungnya di Sukan Komanwel Birmingham 2022 sebagai persembahan terbaiknya, beliau bagaimanapun mengakui terdapat beberapa perkara termasuk aspek stamina perlu ditambah baik.

“Masa (terlalu) singkat (untuk) ke kejohanan tersebut (dan) saya rasa saya perlu berbincang terlebih dahulu dengan jurulatih apa yang akan saya fokus dalam masa berbaki untuk ke kejohanan dunia ini,” katanya ketika ditemui pemberita sebaik tiba dari Birmingham di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam.

Berdasarkan undian dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di laman sesawang https://bit.ly/3SHT4ac, Tze Yong yang layak pada saat akhir susulan penarikan diri pemain dari negara lain akan membuka tirai kempen bertemu juara Masters Malaysia dari Indonesia, Chico Aura Dwi Widoyo di pusingan pertama.

Jika menang, beliau diramal akan berdepan pemain Jepun, Kanta Tsuneyama di pusingan kedua sebelum dijangka bertemu pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen di pusingan ketiga.

Dalam pada itu, atlet kelahiran Johor itu berharap beliau dapat mengekalkan momentum cemerlang pada penampilan sulungnya untuk bersaing dengan pemain elit dunia di Tokyo.

Ditanya mengenai sasarannya di kejohanan berprestij itu, Tze Yong berkata beliau tidak mahu terlalu memikirkannya sebaliknya mahu fokus pada perlawanan selain berazam mahu mempamerkan prestasi terbaik.

Pada aksi di Birmingham, Tze Yong yang menggantikan Lee Zii Jia berjaya menghadiahkan pingat perak kepada negara dalam kemunculan sulungnya di Sukan Komanwel Birmingham 2022, selain turut menghadiahkan emas selepas beraksi cemerlang dengan menang semua perlawanan dalam acara berpasukan campuran. – BERNAMA


Pengarang :