AGENDANASIONAL

Van sekolah terbabas, 17 cedera termasuk pemandu

SUNGAI PETANI, 16 OGOS: Seorang kanak-kanak perempuan patah tangan kanan, manakala 15 lagi kanak-kanak mengalami cedera ringan selepas van sekolah yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan berhampiran Taman Rhu, Tikam Batu dekat sini, pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata seorang lelaki berusia 50 tahun yang juga pemandu van berkenaan mengalami kecederaan ringan pada bahagian kepala.

“Dalam kejadian kira-kira 7.40 pagi itu, van sekolah terbabit terbabas ke dalam parit di bahu jalan, bagaimanapun tiada mangsa yang tersepit.

“Seorang kanak-kanak perempuan berusia lingkungan 8 hingga 10 tahun mengalami patah tangan kanan, manakala 10 kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kakak perempuan, berusia lingkungan 7 hingga 12 tahun mengalami cedera ringan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohamadul Ehsan, kesemua mangsa telah mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.

“Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu telah memberi rawatan awal dan membawa tiga mangsa terdiri daripada dua kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan ke hospital manakala mangsa lain dihantar oleh pihak KKM (Kementerian Kesihatan),” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :