Peserta menghadiri temu duga Program Penempatan Pekerjaan 2022 anjuran Kerajaan Negeri di Dewan Serbaguna Ayer Panas, Kuala Lumpur pada 23 Mei 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Wakil rakyat Kota Damansara cadang pelaksanaan gaji minimum RM1,600 di Selangor

SHAH ALAM, 3 OGOS: Ahli Dewan Negeri Kota Damansara mencadangkan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dapat menaikkan kadar gaji minima berjumlah RM1,600.

Shatiri Mansor berkata kenaikan itu perlu selepas meneliti isu kos sara hidup yang amat membebankan golongan pekerja dan rakyat secara keseluruhannya ketika ini.

“Saya mencadang sekurang-kurangnya RM1,600, saya percaya dan yakin bahawa Selangor memang boleh menjadi perintis dan saya harap Kerajaan Negeri memikirkan sedalam-dalamnya berhubung perkara ini.

“Sekiranya kita dapat melakukan ini maka saya yakin kita akan dapat menjaga golongan pekerja supaya kadar pengangguran tidak bertambah,” katanya pada perbahasan RS-1 dalam sidang Dewan Negeri Selangor baru-baru ini.

Shatiri turut mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri kerana menjadi satu-satunya negeri menubuhkan Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor dan berperanan membela nasib pekerja.

“Saya berharap dana RM1 juta diperkenalkan Kerajaan Negeri iaitu Dana Guaman dapat membantu membela kaum pekerja yang dianiaya terutama mengikut Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan,” katanya.

RS-1 dibentangkan Dato’ Menteri Besar pada 27 Julai lalu menjadi kerangka pembangunan negeri bagi tempoh lima tahun melibatkan nilai keseluruhan RM212.44 bilion.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak RM92.44 bilion disalur kepada projek pembangunan peringkat negeri termasuk pelaksanaan beberapa insentif bagi menjamin kebajikan rakyat.


Pengarang :