Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membuat penggulungan ketika Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor ke-14 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 2 Ogos 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Wakil rakyat pembangkang diberi ruang suara pandangan rangka pelan negeri

SHAH ALAM, 2 OGOS: Kerajaan Negeri tidak pernah menutup ruang kepada wakil rakyat pembangkang menyuarakan pandangan dalam merangka Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bagaimanapun konsep ‘pemisahan kuasa’ harus dipertahankan supaya tugas dan fungsi dapat dilaksana dengan baik.

“RS-1 sudah disebut sejak 2020 dan dirancang setahun kemudian disebabkan pandemik Covid-19. Jadi kita terpaksa bentang pada 2022,” katanya ketika sesi penggulungan RS-1 dalam sidang Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

“Proses konsultasi boleh dibincangkan, sebab itu kita terbuka apabila siapa-siapa (wakil rakyat) bangun (untuk berbahas), tetapi kalau perkara itu meleret kita tidak boleh buat apa.”

Sebelum itu, wakil rakyat Sijangkang Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi ketika membahas usul RS-1 mempersoal keterlibatan wakil rakyat dalam program dan pelan dirangka Kerajaan Negeri.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata Kerajaan Negeri mendengar setiap pandangan dan perbahasan wakil rakyat dari semasa ke semasa sepanjang sesi persidangan.

“Ini termasuk ketika pembentangan bajet dan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor,” katanya.

RS-1 yang dibentangkan Amirudin pada 27 Julai mengambil kira aspek pelaksanaan dasar, projek dan inisiatif menyeluruh antara Kerajaan Negeri dan persekutuan.

Beliau berkata pelaksanaannya juga tidak mengetepikan pelan lima tahun Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang masih berjalan dan memberi kesan kepada Selangor.

Jelasnya, RS-1 juga dirancang bagi menangani cabaran besar yang dihadapi dunia ketika ini antaranya Perang Rusia-Ukraine selain Perang Dingin antara China dan Amerika Syarikat.


Pengarang :