Ahli Dewan Negeri Morib Hasnul Baharuddin menyantuni pesara kerajaan di sekitar kawasannya pada 10 Ogos 2022. Foto : Facebook Hasnul Baharuddin.
ADNSELANGOR

Wakil rakyat santuni lima pesara uzur, bantu daftar program warga emas

SHAH ALAM, 11 OGOS: Seramai lima pesara kerajaan yang uzur sekitar Dewan Undangan Negeri Morib menerima bantuan RM100 setiap seorang, semalam.

Wakil rakyatnya berkata dalam lawatan ke rumah pesara berkenaan, beliau turut membantu mereka mendaftar Skim Mesra Usia Emas (SMUE) selain menerangkan beberapa program kebajikan negeri.

“Lawatan ini sebagai satu tanda terima kasih terhadap jasa mereka kepada negara sepanjang berkhidmat sebagai penjawat awam.

“Insya-Allah usaha ini akan diteruskan dan bantuan tidak hanya sekali beri sebaliknya kita akan maklumkan lagi beberapa inisiatif disediakan Kerajaan Selangor bagi membantu warga emas ini,” kata Hasnul Baharuddin ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata inisiatif itu diambil memandangkan masih ramai penduduk kurang jelas dan kurang mahir untuk mendaftar inisiatif yang disediakan Kerajaan Negeri.

SMUE diperkenalkan lebih sedekad lalu bagi menghargai warga emas negeri ini dengan setiap ahli mendapat manfaat baucar beli-belah dan khairat kematian.

Belanjawan Selangor 2022 memperuntuk sebanyak RM27.5 juta bagi kelangsungan program tahun ini.


Pengarang :