AGENDAJENAYAH

Wanita disamun, dirogol lelaki menyamar ‘pegawai imigresen’

SHAH ALAM, 22 OGOS: Seorang wanita warga Indonesia bukan saja disamun, malah turut diperkosa individu mengaku ‘pegawai imigresen’ di sebuah hotel sebelum mangsa ditinggalkan di tepi jalan.

Kejadian berlaku jam 6.50 pagi kelmarin, ketika mangsa yang bekerja sebagai tukang cuci bersama seorang rakan senegaranya berusia 30-an dalam perjalanan ke tempat kerja di Pandan Indah, lapor portal Berita Harian.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata kedua-dua mangsa disamun membabitkan kerugian lebih RM4,000.

“Polis menerima laporan daripada seorang mangsa mendakwa didatangi dua lelaki mengaku sebagai pegawai Imigresen menggunakan kereta Honda City.

“Suspek memberitahu mahu membuat pemeriksaan pasport dan permit kerja lalu meminta mangsa serta rakannya menaiki kereta.

“Ketika dalam perjalanan, suspek mengambil barang kemas dan wang tunai milik mangsa. Mangsa dibawa ke kawasan Serdang dan ditinggalkan di tepi jalan, manakala rakannya dibawa ke sebuah hotel di Balakong sebelum dirogol,” katanya.

Beliau berkata susulan laporan tersebut, sepasukan polis yang menjalankan sisatan berjaya mengesan suspek dan menyerbu sebuah rumah di Jasin, Melaka, pada jam 3 pagi tadi.

“Dalam serbuan ini, polis merampas wang tunai, barang kemas, kenderaan dan pakaian digunakan suspek ketika kejadian.

“Semakan mendapati suspek pertama berusia 40 tahun mempunyai 18 rekod jenayah lampau termasuk tiga rekod dikehendaki bagi kes dadah, manakala suspek kedua mempunyai 13 rekod lampau termasuk satu dikehendaki,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Ampang pagi tadi bagi permohonan reman. Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan dan Seksyen 170 kanun sama kerana menyamar sebagai penjawat awam.


Pengarang :