Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis Mohd Zawawi Ahmad Mughni (tengah) melihat wau kapal yang dipertandingkan dalam Kejohanan Wau Selangor di Padang Taman Sri Andalas, Klang pada 7 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGOR
ADNSELANGOR

Wau kapal ada potensi dipertanding secara liga peringkat negeri

KLANG, 7 OGOS: Permainan tradisional wau kapal mempunyai potensi untuk dipertandingkan secara liga di peringkat negeri pada masa hadapan, menurut Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis.

Mohd Zawawi Ahmad Mughi berkata potensi itu dilihat susulan maklum balas positif selepas penganjuran dua pertandingan itu di kawasannya.

“Kerajaan Negeri cuba merancang pada masa depan untuk membuat liga bermula di daerah-daerah dan kembangkan ia hingga ke peringkat negeri.

“Pertandingan seperti ini secara tidak langsung dapat mengekalkan tradisi ini daripada dilupakan generasi yang akan datang,” katanya.

Terdahulu beliau merasmikan pertandingan wau kapal di Padang Taman Sri Andalas di sini, hari ini.

Lebih 600 peserta dari lebih 100 pasukan menyertai pertandingan anjuran Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

November tahun lalu, EXCO kebudayaan dan warisan berkata wau kapal yang melambangkan identiti Selangor bakal diangkat sebagai wau rasmi negeri ini.

Borhan Aman Shah berkata permainan yang kaya dengan tradisi itu wajar diingati masyarakat terutama belia apatah lagi ia dimainkan sejak turun-temurun.


Pengarang :