Pengurus Besar Yide Nur Mohd Razali Abdullah (kiri) diiringi Ikon Mahabbah Yide Ustaz Don Daniyal Don Biyajid (tengah) menyerahkan bendera kepada pengurus rumah anak-anak yatim di Kompleks Persatuan Kebajikan Anak Yatim & Miskin Al- Munirah pada 18 Ogos 2022. Foto Yayasan Islam Darul Ehsan
AGENSISELANGOR

Yide agih Jalur Gemilang kepada 22 rumah anak yatim, semarak Hari Kemerdekaan

SHAH ALAM, 20 OGOS: Sebanyak 22 rumah kebajikan anak- anak yatim menerima sumbangan Jalur Gemilang daripada Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) pada Khamis lalu bagi menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan.

Pengurus Besar Yide Nur Mohd Razali Abdullah berharap sumbangan berkenaan akan membangkitkan lagi semangat patriotik dalam kalangan anak-anak yatim atau penghuni.

“Yide turut menguar-uarkan kepada hampir 8,000 anak-anak yatim melalui penjaga mereka untuk mengibarkan bendera dengan konsep satu rumah satu bendera.

“Kita seharusnya mengambil peluang dan ruang bersama-sama bagi menghayati erti sebenar kemerdekaan kerana ia akan menaikkan lagi semangat patriotisme cintakan tanah air dalam diri masing-masing,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau memaklumkan, sumbangan berkenaan adalah kali kedua selepas pertama kali dibuat pada 2020 dan terhenti pada 2021 kerana negara kita masih dilanda wabak Covid 19.

Selain pengedaran bendera, program yang berlangsung di Kompleks Persatuan Kebajikan Anak Yatim & Miskin Al- Munirah Yide turut diisi dengan acara bacaan Yassin dan doa selamat yang dipimpin Ikon Mahabbah Yide Ustaz Don Daniyal Don Biyajid.


Pengarang :