Petugas Skuad Jejak Kemiskinan Lembaga Zakat Selangor (LZS) menemu bual salah seorang guru Kafa untuk mengenal pasti mereka yang layak disenaraikan sebagai asnaf fakir atau miskin di pejabat operasi LZS di Kuala Selangor baru-baru ini. Foto Facebook Lembaga Zakat Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Zakat Selangor sasar 1,500 asnaf keluar daripada senarai penerima bantuan

KUALA SELANGOR, 17 OGOS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyasarkan seramai 1,500 keluarga asnaf keluar daripada senarai penerima bantuan tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata sasaran itu meningkat berbanding 1,024 asnaf yang berjaya keluar daripada status tersebut tahun lalu.

“Kita yakin mampu mencapai sasaran tersebut memandangkan banyak program pembangunan dan kerjaya dijalankan sejak tahun-tahun sebelum ini.

“Inisiatif ini dibuat dengan kerjasama rakan strategik seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan mencari peluang pekerjaan kepada ketua keluarga dan anak asnaf,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyerahkan sumbangan kotak prihatin dan bayaran faedah pengurusan mayat serta pencen penakat Perkeso kepada waris kakitangan LZS yang meninggal dunia di Simfoni Perdana, Puncak Alam di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Sabirin memaklumkan lebih 500 keluarga di negeri ini sudah mendaftar keluar sebagai asnaf sehingga Jun lalu

Beliau menjelaskan pendaftaran itu mengambil kira peningkatan pendapatan asnaf terbabit selain berpindah keluar dari Selangor dan meninggal dunia.

“Pengesahan proses pendaftaran keluar akan ditentukan Divisyen Operasi Agihan Asnaf yang ditempatkan di setiap cawangan atau daerah.

“Secara asasnya, divisyen ini akan buat bancian dan pemantauan bagi mengenal pasti atau meneliti permohonan asnaf berkenaan,” katanya.

Semalam, tular di media sosial seorang penerima zakat dari Kajang menghantar surat memohon kepada agensi terbabit untuk ditamatkan bantuan bulanan.

Tindakan individu terbabit mendapat pujian warga maya berikutan bersikap jujur dan amanah kerana pendapatan harian dijangka mulai stabil.


Pengarang :