Kakitangan Lembaga Zakat Selangor menyerahkan bantuan kecemasan kepada Abd Rahim di Jalan Lama Bt 10 Bagan Tengkorak, Tanjong Karang pada 25 Ogos 2022. Foto Facebook Lembaga Zakat Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Zakat Selangor ziarah mangsa kebakaran, hulur bantuan kecemasan

SHAH ALAM, 26 OGOS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menziarahi mangsa kebakaran melibatkan sebuah rumah di Jalan Lama Bt 10 Bagan Tengkorak, Tanjong Karang, semalam.

Agensi itu memaklumkan pihaknya menyalurkan bantuan kecemasan segera kepada mangsa yang dikenali sebagai Abd Rahim, 57.

“Rumah tersebut adalah rumah sewa yang didiami oleh Abd Rahim bersama keluarganya. Beliau telah menyewa sejak lebih setahun yang lalu.

“Allah uji mereka sekeluarga dengan kehilangan tempat tinggal setelah rumah mereka hangus dijilat api,” katanya menerusi Facebook.

Media sebelum ini melaporkan enam sekeluarga nyaris rentung apabila rumah papan tempat tinggal mereka di Jalan Lama Bt 10 Bagan Tengkorak, musnah terbakar.

Kejadian kira-kira jam 7.40 pagi pada Rabu lalu itu berlaku ketika sebahagian besar mangsa sedang nyenyak tidur di dalam rumah tersebut.

Bagaimanapun, mereka yang terdiri daripada tiga lelaki dan wanita itu terselamat dan berjaya keluar dari rumah mereka.

Kebakaran turut melibatkan sebuah kereta Proton Saga milik mangsa yang berada di hadapan kediaman berkenaan.


Pengarang :