BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

10 filem angkat tema perjuangan lawan penjajah, komunis

SHAH ALAM, 15 SEPT: Filem berlatar sejarah menentang penjajah Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan melonjak semangat kebangsaan yang luar biasa. Kutipan RM97 juta mencipta rekod.

Namun kisah pahlawan Pahang ini bukan satu-satunya filem bertema perjuangan. Ada pelbagai karya mengolah perjuangan era sebelum kemerdekaan, termasuk zaman pendudukan Jepun dan penentangan melawan komunis.

Sempena sambutan Hari Malaysia, wartawan NAZLI IBRAHIM menyenaraikan 10 filem patriotik yang mampu menyemarakkan semangat. Selain karya itu, filem lain antaranya Tanda Putera, Anak Sarawak, Paskal, Malay Regiment dan Air Force The Movie: Selagi Bernyawa turut mengungkap semangat kebangsaan.

Sarjan Hassan

 

Filem terbitan Shaws Malay Productions ini mula ditayang pada 28 Ogos 1958, sempena ulang tahun pertama kemerdekaan negara.

Selain Tan Sri P. Ramlee yang memegang watak Sarjan Hassan, turut membintangi filem ini Datin Saadiah (Salmah), Tan Sri Jins Shamsuddin (Ajis), Salleh Kamil (Buang) dan Omar Rojik (komander Jepun).

Berdasarkan kisah benar pemuda Kampung Pantai di Seremban, Hassan Othman yang menyertai Askar Melayu dan melawan tentera Jepun di Tanah Melayu semasa Perang Dunia Kedua.

Bukit Kepong

Diterbitkan pada 1981, filem arahan Jins diterbitkan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia.

Dibintangi Jins sendiri sebagai Sarjan Jamil Mohd Shah, filem ini turut menampilkan Datuk Yusof Haslam sebagai mata-mata (MM) Jaafar Hassan, Hussein Abu Hassan (MM Othman Yusof) dan A. Rahim (Lans Koperal Jidin Omar).

Seramai 150 anggota polis berlakon dengan memegang pelbagai watak termasuk sebagai gerila komunis.

Filem ini menelan kos RM1 juta yang dianggap tinggi berbanding penerbitan filem Melayu lain ketika itu sekitar RM200,000 hingga RM300,000.

Mat Salleh Pahlawan Sabah

Terbitan Sabah Film Production, filem ini diarahkan Omar Rojik. Menemui penonton pada 1983, naskhah ini menampilkan Alias Lantau sebagai Mat Salleh, Datin Maria Arshad dan Ghazali Sumantri.

Ia berdasarkan kisah sebenar perjuangan Datu Paduka Mat Salleh menentang penjajahan British di Sabah. Beliau pernah mengisytiharkan Tambunan sebagai daerah di bawah kekuasaannya.

Mat Salleh dan pengikutnya menentang Syarikat Berpiagam Borneo Utara dengan menyerang pejabat pentadbiran di Pulau Gaya dan pejabat residen syarikat berkenaan di Ambong.

Leftenan Adnan

Filem ini diterbitkan pada 2000 oleh Markas Tentera Darat Kementerian Pertahanan dengan kerjasama Paradigm Film dan Grand Brilliance.

Naskhah arahan Aziz M Osman menampilkan pelakon Hairie Othman sebagai Leftenan Adnan, Datin Seri Umie Aida (Safiah), Faizal Hussein (Ayob), Rusdi Ramli (Malek) dan Shaharuddin Thamby (Yaakob).

Mengisahkan perjuangan Leftenan Adnan Saidi mempertahankan Singapura ketika diserang tentera Jepun.

Filem ini turut memaparkan babak pertempuran terakhir Rejimen Askar Melayu berdepan kemaraan tentera Jepun yang jauh lebih ramai di Bukit Chandu sehingga mengorbankan Leftenan Adnan.

Embun

Berlatar belakang era Perang Dunia Kedua ketika Jepun menjajah negara ini, filem arahan Erma Fatima dan diterbitkan bersama Filem Negara Malaysia (FNM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Karya ditayang pada Ogos 2002 ini membariskan antaranya Umie sebagai Embun, Hani Mohsin (Bayu), Aqasha (Leftenan Koishi), Izi Yahya (Leftenan Akishi) dan Datuk Ahmad Tarmimi Siregar (Jeneral Kurugawa).

Dalam usaha membebaskan abangnya, Bayu daripada tawanan tentera Jepun, Embun dirogol beramai-ramai sebelum bertemu Leftenan Koishi yang bersimpati dengannya.

Pertemuan itu menimbulkan bibit percintaan sebelum akhirnya Leftenan Koishi berpaling tadah daripada pihak Jepun.

Paloh

Buah tangan Adman Salleh ini diterbitkan FNM dengan kerjasama Finas.

Filem berlatar belakang 1944 ditayangkan pada 2003. Antara pelakonnya Nam Ron sebagai Ahmad, Janet Khoo (Siew Lan), Ellie Suriaty (Fatimah), Hasnul Rahmat (Puteh) dan Adlin Aman Ramli (Sarjan Jumlay).

Naskah ini berdasarkan kisah benar empat sahabat Ahmad, Osman, Puteh dan Harun yang berkhidmat sebagai kempeitai (polis Jepun) di Paloh, Johor.

1957: Hati Malaya

Filem keluaran Pesona Pictures ini ditayangkan pada 2007.

Arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba, dibintangi Kamarulzaman Taib sebagai Tunku Abdul Rahman, Man Bai (Tun Hussein Onn), Nanu Baharuddin (Tun Sharifah Rodziah), Zaefrul Nordin (Datuk Onn Jaafar), Rusdi Ramli (Hali), Maya Karin (Salmi) dan Adlin Aman Ramlie (Rafik) dan Sharifah Amani (Ani).

Filem ini membawa kisah sekumpulan anak muda tempatan yang mahu menghasilkan buku gambar bertajuk ‘1957 – Hati Malaya’.

Menggunakan teknologi moden, filem ini disulam beberapa rakaman sebenar antaranya Tunku Abdul Rahman kembali daripada rundingan di London dan detik merdeka dilaungkan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Bravo 5

Filem arahan Mohd Latif Zami pada 2015 mengisahkan kisah sebenar misi sulit lima anggota komando (Rejimen Gerak Khas) menyelamatkan seorang tawanan dan menggagalkan rancangan komunis menakluk Kedah pada 1989.

Filem terbitan Karya Prima Production dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menelan belanja RM4.5 juta.

Lima pelakon yang membawa watak komando dalam filem ini ialah Beto Kusyairy sebagai Trooper Karim, Remy Ishak (Leftenan Azri), Shashi Tharan (Korporal Morgan), Xiaviar Fong (Korporal Ah Chia) dan Frank Peterson (Sarjan Unya) manakala pelakon dan pengarah Sofi Jikan membawa watak sebagai ketua pengganas komunis.

Ola Bola

Satu-satunya filem patriotik yang menjadikan bola sepak sebagai elemen utama dihidangkan kepada penonton pada 2016.

Arahan Chiu Keng Guan menampilkan pelakon antaranya Bront Palarae sebagai Rahman, JC Chee (Chow Kwok Keong aka Tauke), Luqman Hafidz (Ali) dan Saran Kumar Manokaran (Muthu).

Ola Bola menjadi filem genre drama nombor satu pada 2016 apabila memperoleh kutipan tertinggi RM16.6 juta dan menembusi pasaran China.

Filem ini mengisahkan zaman kegemilangan pasukan bola sepak Malaysia yang layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980. Walau tidak menggunakan nama sebenar namun watak dalam filem ini membawa karakter individu yang terlibat dalam skuad bola sepak negara.

Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior

Filem pada 2017 diterbitkan Tangan Seni Sdn Bhd. Arahan Bade Azmi menampilkan Langgi Datuk Kanang memegang watak sebagai mendiang ayahnya.

Turut menjayakan filem ini ialah Datuk Adi Putra (Koperal Omar Awang Tengah), Zack X-Factor (Lans Koperal Wan Shapudin Abu Kassim), Aidil Aziz (Koperal Micheal Riman anak Bugat) dan Johan Asari (Renjer Baharuddin Yahya).

Memaparkan kisah perjuangan Pegawai Waran 1 Datuk Kanang Anak Langkau menentang pengganas komunis ketika berkhidmat dalam ATM.

Kerjaya Kanang bermula dengan Rejimen Renjer Sarawak sebagai Iban Tracker sehinggalah menjadi Sarjan Mejar dalam Rejimen Renjer Kelapan. Kanang berjuang menghapuskan komunis dari 1948 sehingga 1983.


Pengarang :