Kerajaan menambah 830 jururawat lantikan secara kontrak bagi menambah kapasiti petugas di 135 hospital kerajaan di seluruh negara memandangkan bilangan kes positif Covid-19 semakin ketara sejak minggu lepas. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

1,136 jururawat kontrak dilantik ke jawatan tetap – menteri

JOHOR BAHRU, 22 SEPT: Seramai 1,136 jururawat keluaran Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berstatus lantikan kontrak akan diperakukan ke pelantikan tetap dalam tempoh suku keempat tahun ini dan suku pertama tahun depan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata proses perakuan pelantikan tetap bagi 2,804 jururawat swasta yang sebelum ini dilantik secara kontrak dan berkhidmat di KKM khususnya ketika tempoh pandemik Covid-19 pula, akan dibuat secara berfasa oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

“Bagi Jururawat Gred U29 dan U32 yang memiliki kelayakan akademik Ijazah Sarjana Muda Kejururawatan, secara prinsipnya mereka boleh dipertimbangkan pelantikan ke Gred U41 atau kenaikan pangkat ke Gred U42,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan 25th Joint Malaysia-Singapore Nursing Conference 2022 di sini hari ini.

Selain itu, beliau berkata dalam usaha memastikan penyampaian perkhidmatan di klinik kesihatan ibu dan anak (KKIA) dan klinik desa yang cekap serta berkesan, KKM telah mengemukakan permohonan untuk memfleksikan jawatan Jururawat Masyarakat Gred U19 kepada jawatan Jururawat Masyarakat Gred U19/Jururawat Gred U29.

Menurutnya pindaan itu dibuat bagi membolehkan 1,406 Jururawat Masyarakat Gred U19 yang lulus kursus Diploma Kejururawatan Peningkatan Secara Lantikan (PSL) ditawarkan pelantikan tetap dan kekal mengisi jawatan sedia ada sebagai Jururawat Gred U29.

Khairy berkata sehingga kini, sejumlah 2,775 perjawatan Jururawat Masyarakat Gred U19 masih kosong dan permohonan untuk memfleksikan jawatan itu akan membolehkan ia diisi oleh lulusan jururawat dari Institut Latihan KKM mahupun swasta.

“Menerusi keputusan ini dan selari dengan peredaran masa serta keperluan fasiliti, jawatan jururawat masyarakat akan dijumudkan secara berperingkat. Jururawat masyarakat sedia ada juga akan ditawarkan kursus Diploma Kejururawatan PSL yang dilaksanakan secara sepenuh masa dalam tempoh setahun,” katanya.

Menurut beliau selepas isu doktor kontrak, sebahagian isu jururawat kini telah diselesaikan dan pada masa akan datang isu pembantu perubatan juga dalam perancangan untuk penyelesaian.

“Jadi kita akan terus berusaha untuk mempertingkatkan dan saya juga telah mohon dana tambahan daripada Kementerian Kewangan dalam bajet nanti supaya memberi skim yang lebih menarik kepada jururawat seperti yang diumumkan hari ini,” tambahnya.

-BERNAMA


Pengarang :