Kakitangan JPS menggunakan Jentera ekskavator milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah tekun menjalankan kerja-kerja mendalamkan Sungai Kupang di Lata Celak, Baling pada 29 Julai 2022 berikutan berlaku kejadian banjir akibat hujan lebat. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

130 mangsa banjir dipindah ke dua pusat pemindahan di Baling

BALING, 7 SEPT: Seramai 130 orang daripada 37 keluarga dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) selepas dua mukim di daerah ini dilanda banjir kilat, petang semalam.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Baling Lt Pertahanan Awam (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata 96 orang daripada 31 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Terbuka Kampung Padang Empang manakala 34 orang daripada enam keluarga di PPS Dewan Masjid Al Huda, Kampung Hangus.

“Setakat 8 pagi tadi, mereka yang berlindung di PPS Dewan Terbuka Kampung Padang Empang terdiri daripada empat bayi, 22 warga emas, 31 kanak-kanak dan 39 dewasa.

“PPS Dewan Masjid Al Huda Kampung Hangus pula menempatkan empat warga emas, 20 kanak-kanak dan 10 dewasa,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mohd Faizol berkata banjir kilat itu menjejaskan lima rumah di Taman Bayu Sejahtera dan 11 rumah di Kampung Sungai Batu di Mukim Baling.

“Bagi Mukim Kupang, rumah terjejas termasuk 17 di Kampung Iboi, lima di Kampung Bendang Padang dan lapan di Kampung Hangus,” katanya.

Beliau berkata banjir kilat berlaku susulan hujan lebat kira-kira tiga jam bermula 2 petang semalam yang menyebabkan air Sungai Kupang melimpah ke penempatan penduduk yang tinggal berdekatan tebing sungai.

– BERNAMA


Pengarang :