Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah Alhaj berkenan memakaikan Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) kepada Jurugambar The Star Biro Selangor Sham Kien Khee ketika Istiadat Pengurniaan Pingat-Pingat Negeri Selangor Darul Ehsan Bagi Penerima-Penerima Daerah Petaling Dan Klang sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ke-76 di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 21 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

187 individu dari Petaling, Klang terima pingat kebesaran Sultan Selangor

SHAH ALAM, 21 SEPT: Seramai 187 individu dari Petaling dan Klang menerima pingat kebesaran sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor ke-76.

Istiadat pengurniaan pingat disempurnakan Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah Alhaj mewakili Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.

Dalam majlis itu, seramai 31 individu dianugerahkan Pingat Pekerti Terpilih (PPT), Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC) (40), Pingat Jasa Kebaktian (PJK) (111) dan Pingat Perkhidmatan Selangor (PPS) (lima).

PPT diberikan kepada individu yang melakukan perbuatan terbilang dan terpilih pekertinya manakala PPC untuk pegawai kerajaan cemerlang dalam kumpulan sokongan dan berkhidmat sekurang-kurangnya tujuh tahun bersama Kerajaan Negeri.

Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah Alhaj berkenan memakaikan Pingat Pekerti Terpilih (P.P.T) kepada penerima ketika Istiadat Pengurniaan Pingat-Pingat Negeri Selangor Darul Ehsan Bagi Penerima-Penerima Daerah Petaling Dan Klang sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ke-76 di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 21 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

PJK pula dianugerahkan kepada individu yang lama berkhidmat dan berjasa untuk Selangor, tekun, taat, mempunyai kebolehan istimewa serta pekerti baik.

Manakala PPS dianugerah kepada kakitangan kerajaan yang sedang atau berkhidmat 20 tahun bersama Kerajaan Selangor dengan kelakuan terpuji.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim, Timbalan Speaker Hasnul Baharuddin dan beberapa ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Pengurniaan pingat kebesaran bersambung esok melibatkan daerah Hulu Selangor, Gombak, Hulu Langat, Kuala Langat, Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Sepang.


Pengarang :