Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah Alhaj berkenan memakaikan Pingat Pekerti Terpilih (PPT) kepada Inspektor/SP Khairul Affendi Mohd Ali ketika Istiadat Pengurniaan Pingat-Pingat Negeri Selangor Darul Ehsan Bagi Penerima-Penerima Daerah Hulu Selangor, Gombak, Hulu Langat, Kuala Langat, Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Sepang sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ke-76 di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 22 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

201 individu sumbang bakti terima pingat kebesaran Sultan Selangor

SHAH ALAM, 22 SEPT: Seramai 201 individu menerima pingat kebesaran sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor ke-76.

Berlangsung di Dewan Jubli Perak di sini hari ini, istiadat pengurniaan pingat disempurnakan Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah Alhaj mewakili Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Pengurniaan pingat kebesaran membabitkan individu daerah Hulu Selangor, Gombak, Hulu Langat, Kuala Langat, Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Sepang yang menyumbang bakti kepada masyarakat, negeri serta negara.

Pada majlis itu, seramai 15 individu dianugerahkan Pingat Pekerti Terpilih (PPT), Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC) (23), Pingat Jasa Kebaktian (PJK) (137) dan Pingat Perkhidmatan Selangor (PPS) (26).

PPT diberikan kepada individu yang melakukan perbuatan terbilang dan terpilih pekertinya manakala PPC untuk pegawai kerajaan cemerlang dalam kumpulan sokongan dan berkhidmat sekurang-kurangnya tujuh tahun bersama Kerajaan Negeri.

PJK dianugerahkan kepada individu yang berkhidmat lama dan berjasa kepada negeri, tekun, taat, mempunyai kebolehan istimewa serta pekerti baik.

Manakala PPS dianugerah kepada kakitangan kerajaan yang sedang atau berkhidmat 20 tahun bersama Kerajaan Selangor dengan kelakuan terpuji.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim, Timbalan Speaker Hasnul Baharuddin dan beberapa ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).


Pengarang :