Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) menyerahkan sijil biasiswa kepada pelajar ketika program Sinergi Pendidikan Yayasan Selangor di foyer pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri di Shah Alam pada 5 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

22 pelajar Yayasan Selangor ikuti pengajian dengan badan akauntan profesional

SHAH ALAM, 6 SEPT: Seramai 22 pelajar Yayasan Selangor bakal mengikuti persijilan perakaunan dari badan akauntan profesional iaitu Chartered Institute of Management Accountants (CIMA) dan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Yayasan Selangor menjalin kerjasama dengan badan profesional itu menerusi Tymba Education adalah yang pertama di Malaysia dalam memberi nilai tambah kepada pelajar.

“Manfaatnya pelajar ini apabila habis pengajian tingkatan lima akan dapat persijilan dari CIMA yang melayakkan mereka untuk menyambung diploma di ACCA dan menjadi akauntan bertauliah.

“Malahan jika hingga tingkatan lima pun melayakkan mereka untuk menjadi kerani akauntan tetapi kita berharap mereka tidak terhenti setakat itu sahaja,” katanya semalam.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Sinergi Pendidikan 2022 membabitkan Yayasan Selangor bersama beberapa agensi swasta di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Amirudin berkata beliau yakin kerjasama dengan CIMA dan ACCA itu akan menambah kualiti pada pelajar Yayasan Selangor.

“Kita sedang kenal pasti 22 pelajar bagi mengikuti program dijalankan dalam tempoh dua tahun ini dan mereka ditaja sepenuhnya Yayasan Selangor,” katanya.

Antara syarikat swasta lain yang turut menjalin kerjasama dengan Yayasan Selangor adalah Binapavo@kCOMMERCE (M) Sdn Bhd.

Kerjasama Bina Pavo melibatkan konsultan latihan yang mempunyai kepakaran dalam bidang emosi dan komunikasi untuk melatih pelajar tajaan Yayasan Selangor khususnya di bawah Program Pembangunan Bakat (Sukan Kriket).


Pengarang :