Sebahagian daripada 24 rakyat Malaysia berjaya dibawa pulang dari Phnom Penh Kemboja yang menjadi mangsa penipuan tawaran pekerjaan ketika tiba di Balai Ketibaan Antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) pada 9 September 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

24 mangsa sindiket kerja di Kemboja berjaya dibawa pulang

SEPANG, 9 SEPT: Seramai 24 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan tawaran pekerjaan di Phnom Penh, Kemboja berjaya diselamatkan dan kembali ke tanah air hari ini.

Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah, yang berada di Phnom Penh untuk lawatan kerja, membawa pulang kesemua mereka yang berumur lingkungan 20 hingga 30 tahun itu dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) melalui pesawat AK0539 pada kira-kira 4.50 petang tadi.

Beliau berkata 29 lagi rakyat Malaysia masih berada di depoh imigresen di Kemboja kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah ketika memasuki negara berkenaan dan mereka berada dalam keadaan selamat.

Ketika lawatan kerjanya ke Phnom Penh, Saifuddin berkata beliau sempat melawat tujuh rakyat Malaysia yang berada di depoh imigresen di ibu negara Kemboja itu, manakala 22 orang lagi dilaporkan berada di wilayah Sihanoukville.

“Mereka akan dihantar pulang secara berperingkat bergantung kepada pihak imigresen Kemboja kerana ada yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan kes yang melibatkan siasatan pihak berkuasa di sana,” katanya kepada pemberita di klia2 di sini hari ini.

Menurutnya setakat ini, 118 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja berjaya diselamatkan daripada 148 kes yang dilaporkan.

“Terima kasih kepada kerajaan Malaysia, kerajaan Kemboja, Perdana Menteri Kemboja Hun Sen yang beri arahan khusus supaya diadakan operasi menyelamatkan sebahagian rakyat Malaysia di sana,” katanya.

Mengulangi nasihat agar rakyat Malaysia berwaspada dengan iklan pekerjaan di luar negara dengan tawaran memikat, beliau berkata : “Sekiranya mendapat apa-apa tawaran, hubungi kedutaan kita di Phnom Penh untuk mereka membantu memeriksa sama ada syarikat itu sahih atau tidak dan bukannya pergi tanpa sebarang maklumat yang tepat.”

Katanya terdapat kira-kira 500 syarikat Malaysia beroperasi di Kemboja dan 5,000 rakyat Malaysia yang bekerja serta berniaga di negara berkenaan dan semuanya dalam keadaan baik.

-BERNAMA


Pengarang :