Siren amaran banjir di seluruh negara dinaik taraf bagi membolehkan isyarat amaran disampaikan dengan lebih berkesan kepada penduduk setempat. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

300 siren amaran bah di kawasan berisiko seluruh negara dinaik taraf

PUTRAJAYA, 15 SEPT: Kira-kira 300 daripada 500 siren amaran banjir di seluruh negara dinaik taraf bagi membolehkan isyarat amaran disampaikan dengan lebih berkesan kepada penduduk setempat, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Datuk Ir Dr Md Nasir Md Noh.

Dalam Program Agensi-Agensi Teknikal dan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana bersama Media di Markas SMART, Pulau Meranti dekat sini hari ini, beliau berkata penaiktarafan itu adalah dari segi bunyi yang kuat dan berbeza daripada siren polis atau ambulans, selain disertakan dengan pengumuman akan berlakunya banjir di kawasan terlibat.

“Kita sedang tambahkan kuasa bunyi siren itu dan buat pengumuman, sebelum ini tiada pengumuman dibuat. Siren-siren ini dipasang di kawasan kritikal berlakunya banjir di seluruh negara,” katanya dan menambah ujian siren amaran itu telah dilaksanakan bersama penduduk di kawasan tertentu.

Pada Isnin lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) yang dipengerusikannya bersetuju supaya bunyi amaran awal berbeza dengan bunyi siren yang lain seperti ambulans dan kereta peronda polis bagi mengelakkan kekeliruan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata pihaknya akan menambah lima lagi radar cuaca milik jabatan itu, menjadikan jumlah keseluruhan 19 radar menjelang tahun depan.

“Dengan adanya radar ini, akan dapat memantapkan lagi operasi pemantauan cuaca…kita akan dapat keluarkan amaran hujan atau ribut petir dengan lebih cepat,” katanya.

Musim Monsun Timur Laut (MTL) kebiasaannya mengakibatkan hujan lebat yang sering menyebabkan banjir besar terutama di negeri-negeri pantai timur. MET Malaysia meramalkan MTL 2022/2023 bermula pada Nov 2022 hingga Mac 2023.

Kelantan, Terengganu dan Pahang dijangka mengalami hujan lebat monsun bermula November hingga Disember 2022, manakala Johor, Sabah dan Sarawak dijangka berhadapan hujan lebat monsun bermula Disember 2022 hingga Januari 2023. – BERNAMA


Pengarang :