Seramai 343 perserta daripada 67 agensi menghadiri Latih Amal dan Simulasi Bencana Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 28 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

343 peserta dari 67 agensi sertai latih amal, simulasi banjir negeri

SHAH ALAM, 28 SEPT: Sebanyak 67 agensi membabitkan 343 peserta terlibat dalam Latih Amal dan Simulasi Bencana Negeri Selangor yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz di sini.

Setiausaha Bahagian (Khidmat Pengurusan) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Muhamad Shah Osmin berkata inisiatif itu bertujuan memastikan semua agensi terlibat bersiap sedia dari aspek perkhidmatan, peralatan dan aset bagi menghadapi apa jua bencana.

Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan Muhamad Shah Osmin memberi taklimat pengurusan bencana ketika Latih Amal dan Simulasi Bencana Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 28 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Menjadi hasrat Kerajaan Negeri sekiranya berlaku bencana, kita bersiap sedia dan dilengkapi dengan peralatan dan aset dalam menguruskan apa jua bencana.

“Oleh demikian, sesi ini dilaksana dengan memfokuskan kepada pengurusan komunikasi kerana berdasarkan kajian dan pemeriksaan lalu mendapati elemen ini penting dalam pengurusan sesuatu insiden,” katanya dalam sidang media hari ini.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan latihan dan simulasi menghadapi bencana banjir dianjurkan bagi mendedahkan agensi terlibat kepada tanggungjawab menggerakkan operasi mencari dan menyelamat, pembukaan bilik gerakan dan bantuan.

“Kita lebih bersedia kali ini jika berlaku banjir dengan peralatan dan sebagainya berbanding kejadian lalu misi sedikit lewat.

“Kini kita belajar daripada pengalaman untuk tambah baik jika berlaku banjir termasuk bagaimana proses amaran dibunyikan,”katanya.


Pengarang :