ADN Kota Damansara Shatiri Mansor bercakap kepada media ketika meninjau program Jelajah Ehsan Rakyat di Jalan Nova U5/M, Kota Damansara, Petaling Jaya pada 20 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

400 keluarga di Kota Damansara terima baucar beli-belah Deepavali

SHAH ALAM, 20 SEPT: Seramai 400 keluarga India di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara bakal menerima baucar beli-belah sempena Deepavali bulan depan.

Wakil rakyat Shatiri Mansor berkata bantuan menerusi skim Jom Shopping Raya bernilai RM100 itu diutamakan kepada golongan kurang mampu bagi membolehkan penerima menyediakan kelengkapan raya.

“Semua penerima sudah dikenal pasti. Agihan akan dibuat dalam masa terdekat di Giant Kota Damansara. Kita kumpulkan mereka dalam satu majlis.

“Kita harap inisiatif ini akan meringankan beban mereka sekali gus boleh menyambut perayaan dengan meriah dan gembira,” katanya ketika ditemui di Jualan Ehsan Rakyat di Subang Bistari hari ini.

Jom Shopping Raya diperkenalkan Kerajaan Negeri yang menyasar golongan berpendapatan rendah sebagai inisiatif jangka panjang bagi membela kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Serahan bantuan dibuat melalui pusat khidmat masyarakat di kawasan masing-masing mengikut komponen utama kaum dan sambutan perayaan.

Tahun ini sebanyak RM8 juta dikhaskan untuk program Jom Shopping semua perayaan dengan RM3.34 juta dikhaskan sempena Aidilfitri pada Mei.


Pengarang :