EXCO Kerajaan Prihatin V Ganabatirau (tengah) menyerahkan bekas peralatan membaiki kereta kepada M Batumalai,68, (kiri) dalam program I-SEED di Bukit Kemuning, Shah Alam pada 29 Oktober 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

417 usahawan terima bantuan alatan bernilai RM2 juta sejak tahun lalu

SHAH ALAM, 19 SEPT: Seramai 417 usahawan menerima bantuan peralatan niaga menerusi program Indian Selangor Empowerment and Entrepreneurs Development (I-Seed) sejak tahun lalu.

EXCO Pembangunan Sosio Ekonomi V Ganabatirau berkata jumlah itu membabitkan 260 usahawan pada tahun lalu dan 211 lagi pada tahun ini membabitkan peruntukan RM1 juta setiap tahun.

EXCO Pembangunan Sosio Ekonomi, Kebajikan Masyarakat dan Pemberdayaan Pekerja, V Ganabatirau bercakap ketika sidang media perasmian karnival Deepavali di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam pada 19 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Angka pada tahun ini masih lagi bergerak dan ada penerima lain lagi selepas ini. Bantuan peralatan yang disalurkan ini pelbagai jika usahawan ini tukang jahit kita akan berikan mesin jahit. Jika pertanian kita berikan barangan yang berkaitan, tukang masak kita berikan peralatan dapur.

“Peralatan ini walaupun kita yang luluskan tetapi akan disahkan oleh penghulu kawasan pemohon untuk memastikan ketelusan selain peralatan dibeli oleh pejabat tanah,” katanya pada sidang di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.

Beliau berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebelum ini meluluskan KoHijrah sebagai salah satu agensi bertanggungjawab untuk mendapatkan perolehan peralatan usahawan I-Seed bagi mengurangkan beban pejabat tanah.

Program I-Seed dilancar pada 7 April tahun lalu bertujuan meningkatkan taraf ekonomi kaum India melalui pemberian bantuan peralatan bergantung kepada perniagaan yang mereka usahakan.

Antara syarat kelayakan adalah rakyat Selangor atau bermastautin lebih 10 tahun, individu dan seisi rumah berpendapatan bawah RM3,000 sebulan dan perniagaan mesti beroperasi di negeri ini.

Selain itu, perniagaan perlu aktif dan konsisten, pemohon atau pasangan (suami/isteri) tidak pernah terima bantuan peralatan di bawah program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor atau program Dana Usahawan Mikro Selangor.


Pengarang :