Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze bercakap kepada media selepas program penyerahan simbolik hak milik strata rumah pangsapuri kos rendah di Balai Masyarakat PJS 7/15, Subang Jaya pada 16 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

500 warga Subang Jaya terima RM300 sebulan, lebih ramai bakal dibantu

SUBANG JAYA, 16 SEPT: Kuota Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya berbaki kira-kira 300 slot untuk diisi keluarga berpendapatan rendah.

Wakil rakyatnya Michelle Ng Mei Sze berkata setakat ini kira-kira 500 keluarga di kawasan terbabit menikmati bantuan RM300 sebulan yang disalur melalui e-dompet Wavpay.

“DUN Subang Jaya diberi kuota 800 orang dengan 500 daripadanya sudah didaftarkan. Lebih 200 penerima merupakan bekas pesakit Covid-19 dan ada juga Kasih Ibu Smart Selangor (Kiss).

“Permohonan masih diterima sehingga kini bagi melengkapkan kuota tersebut, jadi kita akan semak sama ada mereka betul-betul layak atau sebaliknya khususnya ibu tunggal atau bapa tunggal,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan surat hak milik strata kepada 420 keluarga Pangsapuri PJS 7/15 di Balai Masyarakat, Bandar Sunway di sini, hari ini.

Michelle Ng turut mengakui ramai penerima memberi maklum balas positif dengan bantuan RM3,600 setahun yang disalurkan Kerajaan Selangor bagi meringankan beban rakyat kurang berkemampuan.

“Mereka berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana sebelum ini hanya untuk kaum ibu sahaja dengan bantuan RM200 tetapi kali ini dinaikkan RM300 sebulan dan lebih inklusif,” katanya.

Dilancar pada akhir Jun lalu, Bingkas merupakan sebahagian daripada 44 insentif terkandung dalam Iltizam Selangor Penyayang yang bakal memanfaatkan 30,000 keluarga membabitkan dana RM108 juta.

Pada 1 Ogos lalu, EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim memaklumkan bayaran Bingkas dibuat menerusi Wavpay bagi memudahkan penerima berbelanja.

 


Pengarang :