Orang ramai mendapatkan pelbagai barangan asas sempena Jualan Ehsan Rakyat di Kampung Kemensah, Gombak pada 15 September 2022. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

506 keluarga susah DUN Hulu Kelang terima bantuan RM3,600 setahun

GOMBAK, 15 SEPT: Seramai 506 ketua isi rumah berpendapatan rendah di Dewan Undangan Negeri Hulu Kelang menerima bantuan RM3,600 setahun menerusi inisiatif Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas).

Wakil rakyatnya Saari Sungib berkata sebahagian daripada mereka sudah menerima RM300 sebulan sejak Julai lalu yang disalur melalui e-dompet Wavpay.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Hulu Langat Saari Sungib. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Kita menerima sebanyak 767 permohonan bagi mendapatkan bantuan ini dengan 572 daripadanya adalah permohonan biasa manakala selebihnya bekas penerima Kasih Ibu Smart Selangor.

“Jumlah permohonan melebihi kuota diperuntukkan iaitu 506 dan sehingga kini, 504 pemohon yang layak sudah mengaktifkan e-dompet manakala dua lagi belum,” katanya hari ini.

Terdahulu beliau meninjau program Jualan Ehsan Rakyat anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Kampung Kemensah, Hulu Kelang di sini.

Dalam perkembangan sama, Saari berkata rata-rata rakyat susah sememangnya menanti bantuan tersebut bagi menampung perbelanjaan bulanan.

“Maklum balas diterima daripada penerima sangat baik. Ramai yang hendak mohon apabila mereka tahu ada penduduk yang sudah terima RM300, malah ada juga dalam kalangan warga emas berminat.

“Bagaimanapun, pemohon mesti memenuhi syarat iaitu memiliki sekurang-kurangnya seorang tanggungan berusia bawah 18 tahun selain pendapatan bawah RM3,000 dan paling penting pengundi Selangor,” katanya.

Dilancar pada akhir Jun lalu, Bingkas merupakan sebahagian daripada 44 insentif terkandung dalam Iltizam Selangor Penyayang yang bakal memanfaatkan 30,000 keluarga membabitkan dana RM108 juta.

Pada 1 Ogos lalu, EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim memaklumkan bayaran bantuan berkenaan dibuat menerusi Wavpay bagi memudahkan penerima berbelanja.


Pengarang :