Pegawai Daerah Klang Shahman Jalaludin bercakap kepada media selepas meninjau kawasan berisiko tinggi banjir akibat fenomena air laut pasang besar di Pengkalan Nelayan Tok Muda, Klang pada 12 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

62 lokasi di Klang berisiko banjir akibat Monsun Timur Laut

KLANG, 12 SEPT: Sebanyak 62 lokasi di daerah ini berisiko dilanda banjir susulan Monsun Timur Laut yang dijangka bermula pertengahan bulan ini hingga Disember.

Pegawai Daerah Klang Shahman Jalaludin berkata situasi itu dijangka menjejaskan lebih 10,000 penduduk antaranya di Sungai Serdang, Tok Muda, Pulau Indah dan Telok Gong.

“Banjir akan berlaku apabila air pasang besar bertembung dengan hujan lebat. Jika kita lihat hari ini dan semalam, walaupun ada (air pasang besar) tetapi Alhamdulillah keadaan terkawal.

“Cuma kerisauan kita pada Oktober dan November nanti, seandainya ketika itu bertembung dengan hujan kemungkinan risiko (banjir) lebih tinggi,” katanya pada sidang media di ban Pengkalan Tok Muda, Kapar hari ini.

Terdahulu, Shahman bersama Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Klang Ir Ahmad Fauzan Mohd Sabri mengadakan lawatan ke beberapa ban berisiko terdedah banjir daerah ini.

Pegawai Daerah Klang Shahman Jalaludin (kanan) meninjau kawasan berisiko tinggi banjir akibat fenomena air laut pasang besar di Pengkalan Nelayan Tok Muda, Klang pada 12 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Dalam pada itu, beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang menasihati penduduk supaya peka dengan maklumat semasa dikeluarkan pihak berkuasa.

Menurutnya, penduduk juga diminta mematuhi arahan berpindah ke tempat lebih selamat jika berlaku banjir bagi mengelak insiden tidak diingini.

“Kita ada banyak bilik gerakan di setiap jabatan jika memerlukan maklumat terkini. Cuma sekiranya ada arahan berpindah, kita minta penduduk segera berbuat demikian.

“Ini kerana kadangkala ada penduduk enggan berpindah atas pelbagai alasan,” katanya lagi.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan Selangor menghadapi peralihan Monsun Barat Daya kepada Monsun Timur Laut dengan kadar taburan hujan antara 100 hingga 400 milimeter(mm) sepanjang tempoh berkenaan.

Berdasarkan ramalan dikeluarkan Pusat Hidrografi Nasional, Pulau Indah, Klang, paras air laut tertinggi dijangka mencapai 5.5 meter yang boleh menyebabkan air laut melimpah masuk ke kawasan penempatan.


Pengarang :