AGENDANASIONAL

7,000 vakum, telefon pintar tanpa permit dirampas di Petaling Jaya

DENGKIL, 9 SEPT: Lebih 7,000 barangan elektrik dan telekomunikasi tanpa Perakuan Kelulusan (CoA) dan permit import bernilai RM4.6 juta dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di sebuah gudang di Petaling Jaya, Selangor pada 26 Ogos lepas.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) (Menanggung Tugas-Tugas) Wan Saadah Mohamed Muhibbuddin berkata barangan elektrik dan telekomunikasi itu dibawa masuk dengan menggunakan modus operandi pengisytiharan palsu iaitu alat tulis.

Beliau berkata pengikraran tidak benar di borang kastam import dari segi nama pengimport dan butiran dagangan dibuat adalah bagi mengelirukan pegawai untuk tujuan pelepasan dagangan.

“Mereka buat pengisytiharan palsu untuk elak dikenakan duti import dan cukai jualan. Duti import barangan yang dirampas itu adalah sebanyak RM550,000,” katanya dalam sidang media di JKDM Dengkil di sini hari ini.

Wan Saadah berkata dalam operasi pada 11 pagi itu, sebanyak 2,755 barangan elektrik tanpa CoA dan 4,702 peralatan telekomunikasi tanpa Permit Import dirampas antaranya pembersih hampagas tanpa wayar, pembersih udara pintar, telefon pintar, alat permainan video dan kamera litar tertutup.

“Tiada tangkapan dibuat ketika serbuan itu namun JKDM telah mengenal pasti individu yang terlibat menyeludup kesemua peralatan ini,” katanya.

Ditanya adakah barangan tersebut dibawa masuk untuk dijual secara dalam talian, Wan Saadah berkata perkara tersebut masih dalam siasatan.

Menurutnya, gudang di Petaling Jaya itu telah beroperasi sejak 2020 sebagai gudang simpanan barangan am dan pemilik gudang itu telah dikenal pasti.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

-BERNAMA


Pengarang :