Keadaan di sekitar Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang mula beroperasi bagi Fasa Pertama dari persimpangan Cheras-Kajang ke Bukit Antarabangsa ketika tinjauan pada 14 September 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

80,000 kenderaan dijangka guna SUKE setiap hari

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Pembukaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) akan mengurangkan kesesakan trafik di bahagian timur ibu negara dengan kira-kira 80,000 kenderaan dijangka menggunakan laluan itu setiap hari.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata dengan pembukaan itu, SUKE yang sejauh 24.4 kilometer (km) dari Sri Petaling ke Jalan Hulu Kelang, akan mengurangkan kesesakan trafik kira-kira 30 peratus di sepanjang Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Jalan Ampang dan Jalan Loke Yew.

Beliau berkata SUKE turut menghubungkan penggunanya dengan beberapa lebuh raya sedia ada seperti Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH).

“SUKE memberi alternatif yang lebih cepat, mudah, efisien dan selamat kepada pengguna jalan raya,” katanya.

Menurut Mohammad Azlan fasa pertama SUKE bagi jajaran sejauh 16.6km dari persimpangan Cheras-Kajang ke Bukit Antarabangsa akan dibuka kepada orang ramai dalam masa terdekat, namun menyatakan Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dijadual mengumumkan tarikh pembukaannya esok.

Beliau berkata laluan itu telah siap dan pembukaannya diluluskan kerajaan untuk manfaat pengguna jalan raya.

– BERNAMA


Pengarang :