Penerima BINGKAS P Selvarani, 39, membeli barangan keperluan asas ketika tinjauan Media Selangor di sebuah pasar raya di Gombak pada 15 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

ADN kumpul maklumat, kenal pasti pemohon layak program bantuan

HULU SELANGOR, 28 SEPT: Proses pengumpulan maklumat dari rumah ke rumah dibuat bagi mengenal pasti hanya yang layak mendapat Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas).

Ahli Dewan Negeri Kuala Kubu Bharu berkata langkah itu diambil berikutan jumlah permohonan bantuan RM3,600 setahun diterima melebihi 1,000 berbanding 337 kuota diperuntukkan.

Menurut Lee Kee Hiong, pengumpulan data dibuat bersama pemimpin setempat di enam kampung iaitu kampung Melayu, Cina dan Orang Asal bagi mengelak penipuan maklumat oleh pemohon.

“Ini bagi memastikan mereka memenuhi syarat antaranya pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu serta mempunyai anak berusia bawah 18 tahun lebih tiga orang.

“Jadi sekurang-kurangnya kita tahu keadaan sebenar di rumah keluarga terbabit dan kelulusan hanya diberikan malumat betul,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan bantuan kepada mangsa banjir sumbangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di Balairaya Kampung Jawa, Kerling dekat sini semalam.

Hadir sama, Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat MBI Ahmad Azri Zainal Nor dan Pegawai Daerah Hulu Selangor Mohamad Hanafe Basri.

Mengulas lanjut, Kee Hiong berkata seramai 300 keluarga menikmati bantuan RM300 sebulan sejak Julai lalu yang disalurkan melalui e-dompet Wavpay.

“Setakat ini tiada aduan diterima, malah penerima tahu bagaimana hendak membeli-belah menggunakan e-dompet memandangkan sistem dibangunkan mesra pengguna.

“Saya berasakan pelaksanaan Bingkas berjaya daripada segi publisiti. Buktinya semua orang tahu kewujudan inisiatif ini untuk diberikan kepada keluarga memerlukan,” katanya.

Dilancar pada akhir Jun lalu, Bingkas merupakan sebahagian daripada 44 insentif terkandung dalam Iltizam Selangor Penyayang yang bakal memanfaatkan 30,000 keluarga membabitkan dana RM108 juta.

Pada 1 Ogos lalu, EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim memaklumkan bayaran Bingkas dibuat menerusi Wavpay bagi memudahkan penerima berbelanja.


Pengarang :