PETALING JAYA, 14 SEPT: Lebih 1,000 keluarga sekitar Taman Medan menerima manfaat program jualan murah barangan asas sejak Februari lalu.
Wakil rakyat Syamsul Firdaus Mohamed Supri berkata sehingga hari ini, inisiatif dilaksanakan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu sudah dianjurkan lapan kali di DUN berkenaan.
“Hujung minggu ini kita akan langsungkan dua lagi program yang sama. Kita akan pilih kawasan bersesuaian terutama lokasi dihuni golongan berpendapatan rendah.
“Setiap kali program, sambutan menggalakkan malah penduduk minta kerap diadakan kerana mereka terbeban dengan kenaikan barang. Kita cuba bantu mereka,” katanya kepada SelangorKini.
Hari ini, program Jualan Ehsan Rakyat DUN Taman Medan diadakan di pusat komersial Taman Jaya dan perkarangan Masjid Nurul Ehsan
Sebanyak 600 ekor ayam dan 600 kampit beras 10kg terjual dalam tempoh tiga jam menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat di dua lokasi tersebut.
Selain itu, beratus papan telur gred B dan minyak masak botol lima kilogram yang dijual lebih murah berbanding harga pasaran turut diborong penduduk.
Program bermula 9 pagi hingga 1 tengah hari turut dianjur di Surau Jamiah Meru Tengah dan Dewan Orang Ramai Kampung Tok Muda Kapar.
Lokasi lain ialah Dataran Pekan Bagan Terap, padang bola Apartment Palma, Flat 940 Pandan Indah, Jalan Technology 3/9 Kota Damansara dan tapak pasar malam Taman Dengkil Jaya.
Kerajaan Negeri memperuntuk RM10 juta untuk meneruskan program tersebut di seluruh 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) mulai 31 Ogos hingga 31 Disember ini.