Pengunjung bersama ahli keluarga masing-masing merakamkan kenangan ketika terlibat dengan aktiviti yang dijalankan di Selangor Fruit Valley pada 23 September 2018. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Agihan baucar, geran usaha negeri rancak semula pelancongan pascawabak

SHAH ALAM, 23 SEPT: Selangor mengenal pasti beberapa inisiatif rangsangan bagi merancakkan semula sektor pelancongan pascapandemik Covid-19 dengan anggaran dana RM114.6 juta.

Usaha jangka panjang bagi tempoh 2021 hingga 2025 termasuk memperkenal Baucar Pelancongan Kita Selangor, geran pelancongan, Gerbang Maritim Selangor dan aplikasi Go Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan industri tersebut merupakan salah satu teras ekonomi yang sentiasa diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri.

“Kedatangan tinggi pelancong akan meningkatkan kitaran ekonomi yang menguntungkan rakyat negeri ini,” katanya di Facebook hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Selangor menerima kedatangan pelancong domestik tertinggi seramai 10.2 juta orang tahun lalu berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia.

Menurutnya, angka itu menunjukkan Selangor mempunyai produk tarikan pelancongan yang baik selain memiliki pasaran besar dalam industri tersebut.

Pada 11 September, Amirudin berkata penambahbaikan kemudahan di pusat pelancongan negeri antara tumpuan dalam Belanjawan Selangor 2023 yang akan dibentangkan bulan depan.

 


Pengarang :