AGENDANASIONAL

Agong, permaisuri wakili negara ke istiadat pemakaman Ratu Elizabeth II

PUTRAJAYA, 14 SEPT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah akan mewakili Malaysia ke istiadat pemakaman negara Ratu Elizabeth II pada Isnin.

Perkara itu dinyatakan Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah kepada pemberita pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Luar, di sini hari ini.

Ratu Elizabeth II, Raja Britain paling lama menduduki takhta, mangkat pada usia 96 tahun di Istana Balmoral di Scotland pada 8 September.

Menurut laporan media, jasad Ratu Elizabeth II kini berada di London dan ditempatkan di Istana Buckingham sehingga istiadat pemakaman negara di Westminster Abbey pada 19 September.

Jasad baginda akan dimakamkan bersebelahan makam suaminya, mendiang Putera Philip.

Baginda ialah raja kedua paling lama menduduki takhta dalam sejarah Eropah selepas Raja Perancis Louis XIV.

– BERNAMA


Pengarang :