Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Ahli perniagaan dilarikan dalam MPV dipercayai akibat hutang

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Seorang ahli perniagaan cedera ringan selepas dilarikan sekumpulan lelaki di Jalan Pandan, Ampang di sini semalam, dipercayai akibat masalah hutang.

Lelaki berusia 38 tahun dilepaskan di Klang, beberapa jam selepas kejadian dan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya pada pukul 10.45 malam untuk membuat laporan.

Ketua Polis Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata ahli perniagaan itu dilapor ditarik sekumpulan lelaki menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire putih ketika sedang berjalan bersendirian selepas makan di sebuah restoran di kawasan itu.

“Polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 5.03 petang. Mangsa memberitahu dia telah dilepaskan oleh suspek di Klang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata ahli perniagaan itu mengalami beberapa kecederaan luka di bahagian kaki dan muka dan telah mendapat rawatan di Hospital Ampang.

Mohamad Farouk berkata siasatan masih dijalankan dan polis kini memburu kumpulan lelaki terbabit.

Kejadian melibatkan Toyota Vellfire putih itu tular di laman sosial WhatsApp dan kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik atau melarikan mana-mana orang dengan niat hendak menyebabkan orang itu dikurung dengan sulit dan dengan salah.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

– BERNAMA


Pengarang :