Penguat kuasa Pejabat Daerah/Tanah Klang memantau kawasan berisiko banjir di pengkalan Pelabuhan Klang pada 27 September 2022 susulan fenomena air pasang besar. Foto Facebook Pejabat Daerah/Tanah Klang
AGENDANASIONAL

Air pasang besar, beberapa kawasan di Klang dinaiki air

SHAH ALAM, 28 SEPT: Beberapa kawasan sekitar Klang dinaiki air pagi ini berikutan fenomena air pasang besar di daerah itu bermula semalam.

Menurut aduan diterima Bilik Gerakan Bencana Pejabat Daerah dan Tanah Klang, lokasi terjejas antaranya Kampung Bukit Kuda di Jalan Landasan mulai 7.30 pagi.

Kawasan lain yang turut dinaiki air ialah Lorong Hijau dan Jalan Putih di Taman Kampung Kuantan serta laluan dari Jalan Bukit Kuda ke Jalan Batu 3 Lama.

Pagi tadi, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang membuka pusat penempatan sementara (PPS) untuk mangsa banjir yang terkesan berikutan fenomena tersebut.

Penguat kuasa Pejabat Daerah dan Tanah Klang membawa mangsa banjir di Kampung Sungai Sireh ke pusat pemindahan sementara pada 28 September 2022. Foto ihsan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang

Mangsa banjir yang dipindahkan meliputi Kampung Delek Baru ke Sekolah Rendah Agama Kampung Delek
dan Kampung Sungai Sireh Tambahan ke Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Sireh.

Agensi itu turut menasihatkan penduduk yang terjejas untuk menghubungi wakil Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) atau terus ke PPS berkenaan.

Bacaan paras air laut dijangka mencecah 5.3 meter dengan paras tertinggi 5.4 meter pada Rabu.

Antara lokasi yang dipantau ialah Taman Selat Damai, Pandamaran, Taman Telok Gedung Indah, Pelabuhan Klang dan Jeti Nelayan Pengkalan Nelayan Tok Muda di Klang.

Manakala lokasi tumpuan di Kuala Langat ialah Pantai Kelanang, Pantai Baru Morib, Pantai Morib, Pantai Batu Laut, Pantai Cunang dan Jeti Tanjung Sepat.


Pengarang :