Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli pelbagai jenis barangan asas yang djual murah berbanding harga pasaran sempena Jelajah Ehsan Rakyat di Jalan Nova U5/M, Kota Damansara, Petaling Jaya pada 20 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anjur jualan murah negeri setiap minggu, penuhi keperluan keluarga B40

SHAH ALAM, 20 SEPT: Program jualan murah barangan asas anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) perlu kerap diadakan terutama di kawasan kediaman golongan berpendapatan rendah.

Pandangan itu disuarakan Norhishaman Shah Zulkarnain, 36, yang menganggap langkah berkenaan dapat membantu penduduk kurang mampu menjimatkan belanja terutama ketika berdepan isu kenaikan barang.

Norhishaman Shah Zulkarnain. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Ini kali kedua saya beli barang di Jualan Ehsan Rakyat. Harga ditawarkan memang murah dan dapat jimat belanja dapur.

“Saya memang menantikan program ini. Harap ia diadakan setiap minggu supaya ramai dapat beli barangan segar pada harga rendah,” katanya ditemui di jualan murah di Subang Bistari, hari ini.

Sementara itu suri rumah Nora Kassim, 36, berkata jualan barangan asas itu membantu keluarganya mendapat barang berkualiti pada harga murah.

Nora Kassim. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Saya memiliki keluarga besar. Ada enam anak berusia lima bulan hingga 19 tahun. Suami pula hanya kerja sendiri.

“Bila datang ke jualan ini, saya jimat banyak. Selalunya saya belanja hampir RM100 setiap minggu untuk beli barang makanan tetapi hari ini dapat kurang separuh darinya ,” katanya.

Program kendalian PKPS bagi membantu rakyat berdepan kenaikan harga barang memanfaatkan lebih 80,000 orang sejak diperkenal Disember tahun lalu.

Inisiatif jualan murah itu dilancar sempena sambutan Hari Kemerdekaan di seluruh 56 DUN mulai 31 Ogos hingga 31 Disember ini dengan peruntukan RM10 juta.

Enam jenis barangan asas iaitu ayam, daging, ikan, telur, beras dan minyak masak dijual murah berbanding harga semasa pasaran.

 


Pengarang :