ADN Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran memberi subsidi RM100 untuk telefon pintar atau diberikan secara percuma kepada mereka yang benar-benar miskin serta menyediakan kelas penggunaannya bagi mengurangkan jurang digital dalam kalangan penduduk DUN Bukit Gasing. Foto R Rajiv
ADNSELANGOR

Anjur kelas bimbing warga emas guna telefon pintar, tawar peranti percuma

PETALING JAYA, 19 SEPT: Hampir 20 warga emas menyertai kelas penggunaan telefon pintar anjuran Pusat Khidmat DUN Bukit Gasing setiap minggu sejak Oktober tahun lalu.

Wakil rakyat Rajiv Rishyakaran berkata inisiatif itu bertujuan membantu golongan berkenaan cekap memanfaatkan peranti memandangkan banyak urusan rasmi dibuat secara dalam talian.

“Setiap minggu kita terima antara 10 hingga 20 peserta. Kebanyakan mereka adalah golongan warga emas yang tidak tahu cara guna alat peranti terbabit.

“Ini menyukarkan mereka tambahan ketika ini banyak urusan rasmi perlu dibuat menerusi dalam talian. Kita harap usaha ini membantu mereka,” katanya hari ini.

Pada masa sama, Rajiv turut menawarkan telefon pintar serendah RM100 setiap satu selain memberinya secara percuma khusus kepada mereka yang susah.

“Inisiatif ini bertujuan membolehkan semua individu terutama golongan susah untuk memiliki telefon pintar sendiri. Jika betul-betul susah, kita beri percuma.

“Tawaran ini dibuka kepada semua penduduk Bukit Gasing. Kita mahu bantu semua individu supaya urusan mereka mudah,” katanya.


Pengarang :