Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim membantah tindakan pihak tertentu yang cuba menghalang kebebasan media. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

Anwar bimbang cubaan ganggu tugas wartawan, tekad lindungi kebebasan media

SHAH ALAM, 16 SEPT: Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan kebimbangan dengan cubaan menakutkan wartawan serta menganggu kebebasan media di negara ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu berkata antara tekanan diberikan adalah pertuduhan memfitnah yang difailkan terhadap bekas ketua pengarang The Edge serta penggantian pengarang kumpulan The New Straits Times Press (NSTP).

“Kerajaan pimpinan Umno dan Bersatu cuba mengembalikan negara ke era menghalang kebebasan media yang membenarkan skandal mega seperti PKFZ, 1MDB, kapal tempur pesisir serta kegagalan pelaksanaan rangkaian 5G oleh Digital Nasional Bhd (DNB).

“Malah jika rakyat Malaysia masih ingat pada 2015, The Edge digantung selama tiga bulan kerana laporannya mengenai skandal 1MDB,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Anwar menegaskan HARAPAN di bawah pimpinannya akan memelihara, melindungi dan meningkatkan kebebasan media melalui pembaharuan undang-undang selain menyediakan peluang latihan untuk profesional media.

“Saya menyokong profesional media dan kami berterima kasih kepada mereka atas sumbangan yang mereka berikan ke arah mengukuhkan demokrasi di Malaysia,” katanya.

Pada 13 September,  NSTP mengumumkan pelantikan pengarang kumpulan baharu akibat campur tangan politik.

Selain itu, bekas ketua pengarang The Edge Ahmad Azam Mohd Aris dihadap ke mahkamah atas dua pertuduhan memfitnah menerusi artikel yang disiarkan akhbar niaga itu.


Pengarang :